Pada pukul 12.06 tengah hari, saham DRB-Hicom susut 12.88 peratus atau 38 sen kepada RM2.57 dengan 62.34 juta saham bertukar tangan.

Kaunter itu melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 19 tahun kepada RM2.95 Jumaat lepas.

RHB Research Institute Sdn. Bhd. dalam nota penyelidikannya berkata, peningkatan dalam bahagian automotif susulan hasil yang lebih tinggi oleh Proton mengangkat pendapatan DRB-Hicom dan mengimbangi prestasi lemah segmen lain.

“Kami kekal positif terhadap prospek jangka panjang DRB. Pengenalan model berasaskan Geely yang seterusnya boleh menjadi pemangkin,” katanya.

DRB-Hicom menguasai 50.1 peratus kepentingan dalam Proton Holdings Bhd. dengan 49.9 peratus lagi milik Zhejiang Geely Holding Group Co..

Kenanga Investment Bank dalam nota berasingan berkata, Proton sedang dalam proses memuktamadkan pelan tindakan perniagaan 10 tahunnya yang menyasarkan 30 peratus penguasaan domestik dan 10 peratus pasaran serantau menerusi pengenalan model baharu.

“Secara khusus, kumpulan itu membuat sasaran untuk mengembangkan portfolio produknya dalam segmen kecil A dan B serta segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kenderaan pelbagai guna (MPV) bagi pasaran eksport mereka,” katanya.

Ia berkata, versi pertama Proton SUV, X70 pemasangan tempatan (CKD) akan direalisasikan pada November tahun ini manakala Proton X50 dijangka dilancarkan pada separuh kedua tahun depan.

RHB Research mengekalkan penarafan ‘beli’ ke atas DRB-Hicom namun menyemak naik harga sasaran kepada RM3.35 daripada RM3.05.

Sementara itu, Kenanga menurunkan saranan DRB-Hicom kepada ‘kurang berprestasi’ daripada ‘berprestasi pasaran’, namun menyemak naik harga sasaran kepada RM2.60 daripada RM2.20 sebelumnya. - BERNAMA