Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Junz Wong berkata, beliau kagum dengan ladang pisang Cavendish seluas 4,046.85 hektar di negara berkenaan yang diuruskan rakyat Malaysia, Datuk Tom Chow Chin Kiat.

Menurut beliau, ini kerana ladang tersebut menggunakan teknologi perladangan moden yang digunakan untuk mengeluarkan pisang berkualiti tinggi secara konsisten untuk pasaran termasuk China, Australia, Jepun dan Amerika Syarikat.

“Mereka mempunyai kepakaran, malah memiliki ladang benih kultur tisu sendiri selain nurseri menggunakan kaedah pengeluaran benih konvensional.

“Selain itu mereka mempunyai kilang pembuatan baja sendiri yang mengeluarkan 10 tan baja organik setiap bulan menggunakan hampas sawit yang banyak di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wong berkata, antara lain, ladang itu turut menggunakan sistem pengairan moden dan sistem dron berteknologi tinggi untuk memantau keadaan pertumbuhan dan nutrisi tumbuhan tersebut.

Katanya, ia juga dilengkapi sistem mekanikal khusus untuk mengangkut pisang setelah dituai ke bahagian jaminan kualiti dan kawalan kualiti (QAQC) kemudiannya dipindahkan ke kilang pembungkusan yang meningkatkan tahap kecekapan secara ketara.

“Keseluruhan ladang itu termasuk bahagian pembuatan dan pembungkusan menggaji 2,000 pekerja dan perbelanjaan modal awal adalah tidak kurang daripada AS$10 juta (RM41.13 juta).

“Saya menjemput mereka untuk datang ke Sabah serta membawa masuk pelaburan, pengetahuan teknologi dan sistem QAQ,” katanya. - BERNAMA