Pekerjaan baharu akan muncul untuk mengimbangi dan membolehkan pekerja melaksanakan tugas yang lebih tinggi, yang akan menjurus kepada penyusunan semula peranan dalam keseluruhan bidang perniagaan, demikian menurut tinjauan oleh KPMG International dan Harvey Nash 2019.

Rakan kongsi KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris berkata, sejak setahun lalu, organisasi telah melihat peningkatan dalam pelaburan teknologi di seluruh dunia dan kini hanya menunggu masa bila robot dan teknologi kognitif lain menjadi keutamaan di tempat kerja.

“Untuk mencapai potensi sepenuhnya teknologi ini, organisasi mesti berfikir melepasi pelaburan teknologi, dengan memberi tumpuan kepada strategi transformasi secara meluas.

“Ia memerlukan pemimpin perniagaan mengambil inisiatif untuk menaikkan tenaga kerja mereka dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada usaha untuk menarik dan mengekalkan bakat baharu, dan memastikan mereka bersedia pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, disebabkan tumpuan kini kepada pelaburan teknologi, laporan itu menyebut pemimpin teknologi kini berusaha untuk mencari bakat yang tepat memandangkan tahap kurangnya kemahiran kini mencatat paras tertinggi sejak 2008.

Tinjauan ini mengenal pasti data raya atau analitis (44 peratus), keselamatan siber (39 peratus) dan AI (39 peratus) sebagai tiga bidang kemahiran yang paling sukar, yang boleh menjadi penghalang kepada pertumbuhan organisasi yang mahu mengubah perniagaan mereka.

Sehingga 2019, hanya 16 peratus daripada organisasi telah melaksanakan AI dalam proses automasi beberapa proses mereka, namun bilangannya meningkat setelah teknologi ini lebih mudah diakses.

Ketua Transformasi IT-Enabled KPMG di Malaysia, Alvin Gan berkata, pemimpin perniagaan perlu belajar untuk memanfaatkan kedua-dua jenis tenaga kerja ini memandangkan mereka menjangka akan berlaku usaha sama antara manusia dan AI/automasi.

“Ini menekankan perlunya pemimpin perniagaan memastikan tenaga kerja mereka mengekalkan set kemahiran yang relevan,” katanya. -BERNAMA

-