Pada pukul 9 pagi, ringgit berada pada 4.1900/1930 berbanding dolar AS daripada 4.1845/1875 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka terus lemah walaupun risiko penurunan boleh dihadkan berikutan mata wang tersebut berada pada kedudukan terlebih jual.

“Penangguhan selama 90 hari yang diberikan kepada Huawei dapat mengurangkan kebimbangan mengenai impak terhadap sektor teknologi dalam masa terdekat.

“Bagaimanapun, konflik perdagangan kekal tidak tetap dan kita masih belum melihat satu lagi pusingan tindakan balas daripada China. Semua pihak akan memerhatikan Yuan China dan prestasinya pada masa ini,” katanya kepada Bernama.

Jabatan Perdagangan AS telah memberikan lesen eksport am sementara selama 90 hari kepada Huawei Technology Co. Ltd. walaupun syarikat itu masih dilarang menjalankan perniagaan dengan kebanyakan syarikat AS, ia dibenarkan untuk terus menggunakan sokongan produk penting.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali pound British.

Unit tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0358/0384 daripada 3.0355/0386 semasa ditutup pada Selasa lepas dan merosot berbanding euro kepada 4.6723/6765 daripada 4.6653/6699.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.8032/8070 daripada 3.7972/8006, bagaimanapun naik berbanding pound British kepada 5.3004/3058 daripada 5.3118/3165 pada Selasa lepas.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti Nuzul Al-Quran. - BERNAMA