Pada pukul 6 petang, ringgit ditutup pada 4.1750/1790 berbanding dolar daripada 4.1760/1810 pada Jumaat.

Ketua Strategi Pemasaran di FXTM, Hussein Sayed berkata, pelabur mengharapkan bank-bank pusat menyelamatkan ekonomi dunia dan pasaran ekuiti daripada menjadi lebih buruk.

“Jika bank pusat membuktikan mereka bersedia untuk bertindak dengan menurunkan lagi kadar faedah dan program pelonggaran kuantitatif, pasaran ekuiti dijangkakan akan meningkat selepas kejatuhan baru-baru ini.

“Sebaliknya, lebih banyak wang akan dilaburkan dalam emas dan aset selamat yang lain seperti yen Jepun dan franc Swiss,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tumpuan kini pada mesyuarat tahunan Jackson Hole pada Khamis di Wyoming yang mana pemimpin utama bank berhimpun untuk memperoleh lebih banyak petunjuk pasaran ketika berlakunya turun naik pasaran semasa.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan bercampur-campur.

Ringgit tinggi berbanding yen Jepun pada 3.9183/9228 daripada 3.9230/9288 Jumaat lepas, dan berbanding pound British, pada 5.0593/0645 daripada 5.0763/0828.

Unit tempatan bagaimanapun rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0144/0184 daripada 3.0097/0140 Jumaat lepas dan berbanding Euro kepada 4.6338/6399 daripada 4.6283/6346. - BERNAMA