Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada paras 4.1440/4470 berbanding dolar AS daripada paras 4.1380/1420 pada Isnin.

Seorang peniaga berkata sentimen untuk mengambil risiko terjejas oleh kenyataan rasmi pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) bahawa Presiden AS Donald Trump ‘’selesa dengan sebarang keputusan” daripada perbincangan perdagangan dengan Presiden China Xi Jinping.

“Perkara terbaik yang pasaran boleh harapkan adalah penyambungan perbincangan perdagangan AS-China berjalan lancar. Perkara paling buruk adalah kedua-dua pemimpin enggan meneruskan perbincangan yang akan mengeruhkan lagi keadaan pertikaian AS-China,” kata penganalisis pasaran FXTM Han Tan.

Semasa urus niaga ditutup hari ini, ringgit rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0603/0637 daripada 3.0555/0595 pada Isnin dan turun berbanding yen kepada 3.8693/8724 daripada 3.8547/8588.

Ringgit turun berbanding pound kepada 5.2857/2903 daripada 5.2797/2864 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7146/7196 daripada 4.7140/7202.- BERNAMA