Bagaimanapun unit tempatan terus didagangkan dalam keadaan dipengaruhi prospek ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dan penurunan ketara harga minyak mentah semalaman.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1870/1920 berbanding dolar AS daripada 4.1890/1920 ketika ditutup pada Selasa.

Rakan Pengurusan VM Markets Pte Ltd, Stephen Innes berkata pasaran telah mengalami kitaran penuh sekali lagi dengan harapan menyaksikan prestasi terbaik di samping bersedia menghadapi situasi lebih buruk.

"Berdasarkan situasi semasa, pergerakan kecil juga akan mendorong pelabur memberi reaksi lebih positif bergantung bagaimana sentimen peserta pasaran melabur memandangkan kemelut perang perdagangan yang masih kekal meruncing mempengaruhi setiap keputusan dagangan," katanya dalam kenyataan.

Ringgit diniagakan pada paras terendah dalam tempoh dua bulan malah menjadi prestasi terburuknya bagi tempoh dagangan sejak 31 Mei, 2019 apabila ditutup pada 4.1890/1920 berbanding dolar AS.

Selain itu, harga niaga hadapan minyak mentan susut mendadak ketika ditutup pada Selasa, termasuk minyak Brent yang menjadi penanda aras antarabangsa apabila turun kepada kira-kira paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.

Minyak mentah Brent jatuh 87 sen, atau 1.4 peratus, kepada US$58.94 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama. Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0316/0364 daripada 3.0318/0350 semalam dan naik berbanding pound kepada 5.0993/1071 daripada 5.1123/1180. Mata wang tempatan lemah berbanding yen kepada 3.9392/9450 daripada 3.9367/9406 dan susut berbanding euro kepada 4.6920/6992 daripada 4.6917/6963. - BERNAMA