Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Bhd. Datuk Adissadikin Ali berkata, platform itu dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Ini merupakan sesuatu yang baharu yang difikirkan perlu bagi membantu lebih banyak syarikat e-dagang untuk mendapatkan pembiayaan perdagangan ter­utamanya daripada syarikat perbankan Islam,” katanya kepada pemberita selepas sesi forum Pembiayaan Perdagangan Islamik anjuran Persatuan Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) di sini hari ini.

Forum itu diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2018 yang berlangsung dari 4 hingga 6 April 2018 di Pusat Perdagangan dan Pa­meran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Yang turut hadir, Ke­tua Pegawai Ekseku­tif Standard Chartered Saadiq Bhd., Datuk Mohamaed Ra­fique Merican Mohd. Wahiduddin; Ketua Perbankan Islam Maybank dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamik, Datuk Mohamed Rafique Merican dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Perba­danan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Ir Dr. Mohd. Shahreen Zainooreen Madros.

Sementara itu Adissadikin ber­kata, syarikat perbankan Islamik perlu bekerjasama dengan pemain teknologi kewangan (Fintech) bagi membantu syarikat e-dagang khususnya da­lam segmen pembiayaan perdagangan.

Ujarnya, buat masa ini tidak banyak bank yang memberi dana kepada syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang terutamanya kepada sya­rikat permulaan disebabkan mereka kekurangan mo­dal kerja.

“Kebiasaannya bank-bank akan membuat penilaian kredit berdasarkan dokumen yang diberikan oleh syarikat, namun disebabkan syarikat ini sama ada baharu, atau kekurangan modal kerja, pem­biayaan itu tidak dapat dikeluarkan dan inilah masanya kedua-dua fintech dan bank perlu bersama membangunkan produk atau platform bagi mengisi peluang ini,” katanya.