Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, ini adalah sebahagian daripada usaha bank untuk menyediakan PKS dengan akses pembiayaan mudah, sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu melihat lebih banyak penglibatan PKS dalam ekonomi.

Bank itu telah meluluskan RM7.2 bilion pada 2018 bagi menyokong pertumbuhan lebih daripada 4,000 PKS di Malaysia.

“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami menyasarkan pemberian lebih daripada RM31 bilion dalam pembiayaan baharu serta tambahan yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 18,000 PKS,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan bank itu di sini hari ini.

RHB Bank mahu meningkatkan bahagiannya dalam segmen PKS dari tempat keempat dengan bahagian pasaran sebanyak 9.06 peratus seperti pada 31 Januari 2019 ke tempat ketiga tidak lama lagi.

Sehingga kini, RHB telah menghubungkan lebih 100,000 PKS melalui penyelesaian pengurusan tunai serta e-Penyelesaian PKS yang merangkumi penyelesaian pembayaran gaji dan perakaunan.

Menerusi ekosistem PKS ini, kumpulan perbankan itu yakin mampu dapat menyambung perkhidmatan kepada 15,000 lagi PKS baharu pada 2019.

Khairussalleh berkata, RHB Bank akan kekal konservatif mengenai unjuran pertumbuhan pinjamannya.

“Sebagai sebuah industri, kami tahu pertumbuhan pinjaman di rantau ini mungkin berada pada sekitar lima hingga enam peratus. Kami berpendapat bahawa kami boleh berkembang baik dalam segmen PKS dan gadai janji berikutan cabaran-cabaran dalam segmen lain seperti korporat.

“Jadi, atas dasar komposit, kami akan mengekalkan pertumbuhan lima peratus walaupun percaya bank boleh berkembang dalam segmen yang betul iaitu gadai janji dan PKS,” katanya sambil menambah bahawa kadar kelulusan pinjaman gadai janji RHB Bank berada pada 75 peratus.

Khairussalleh berkata, kumpulan itu mempunyai beberapa tawaran awam permulaan (IPO) dalam perancangan untuk tahun ini.

“Akan ada satu lagi dalam tempoh terdekat dan yang lain-lain mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini. Sudah tentu, kami ada yang kecil tetapi dua yang terbesar mencecah jumlah IPO (saiz) sebanyak RM750 juta setiap satu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Syed Ahmad Taufik Albar berkata kumpulan itu telah memperuntukkan perbelanjaan modal tahunan sebanyak RM450 juta bagi perbelanjaan teknologi maklumat (IT) dan bukan IT, termasuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penempatan semula cawangan. - BERNAMA