Menurut S&P Global Ra­tings, unjuran mata wang renminbi China akan bergantung terutamanya kepada ketegangan perdagangan dan teknologi dengan Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pakar Ekonomi bagi Asia Pasifik S&P Global Ratings, Shaun Roache berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menjangkakan susut nilai yang besar.

Katanya, jika keadaan stabil dan pertumbuhan global berkembang seperti yang dijangka, renminbi diunjur berlegar di paras semasa berbanding dolar AS.

"Dolar AS mengekalkan ke­pen­tingannya untuk beberapa mata wang, terutama yang berkaitan dengan akaun semasa ekonomi defisit.

"Ia termasuk mata wang se­perti dolar Australia, won Korea dan ringgit," katanya dalam laporan China's Renminbi Moves Beyond 7 di sini hari ini.

Pergerakan renminbi pada 7.00 selaras dengan rangka kerja dasar kadar pertukaran China dua tahun yang lalu.

Dasar negara itu sejak 2016 telah memberi tumpuan lebih kepada kestabilan mata wang berbanding trade-weighted basket dan membenarkan kuasa pasaran memainkan peranan yang lebih besar.

Implikasi yang jelas daripada dasar berkenaan adalah turun naik dalam kadar dua hala berbanding dolar AS.

Dalam beberapa waktu, China telah membenarkan lebih banyak fleksibiliti berbanding dolar AS dan risiko dasar perdagangan yang lebih tinggi bermakna lebih banyak tekanan susut nilai.