Riuh-rendah rumah apabila semua anak dan cucu balik ke kampung. Bersesuaian sangat dengan tujuan perkahwinan seperti yang dianjurkan agama iaitu untuk meramaikan umat Islam.

Ada pula yang mempunyai rezeki duniawi berlimpah-ruah, wang berjuta, hartanah berbelas tetapi tiada zuriat walaupun telah lama mencuba pelbagai usaha untuk mendapatkannya. Orang begini sanggup menukarkan berapa pun harta dunia semata-mata untuk mendapatkan zuriat. Tetapi, perancangan Allah sentiasa yang terbaik untuk kita.

Ambil anak angkat

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca kali ini. Datuk Mahmud dan Datin Shamsiah telah berumahtangga selama 20 tahun, namun, pasangan ini tidak dikurniakan zuriat.

Mahmud adalah ahli perniagaan yang berjaya. Nilai kekayaannya yang dikira berdasarkan nilai saham syarikat sahaja dianggarkan mencecah RM20 juta. Syarikat itu dimiliki 99 peratus saham oleh Mahmud dan isterinya hanya memiliki satu peratus sahaja.

Ini tidak termasuk hartanya yang lain seperti hartanah, wang tunai di dalam akaun bank, saham amanah, Tabung Haji dan polisi takafulnya. Pasangan ini ada segala-galanya kecuali suara tangisan bayi di rumah agam mereka.

Selepas berbincang, pasangan ini akhirnya bersepakat mengambil seorang anak angkat perem­pu­an yang diberikan nama Aisyah. Dia dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

Takdir Allah, tiga tahun selepas mengambil Aisyah sebagai anak angkat, Datin Shamsiah me­ngan­dung dan melahirkan seorang anak lelaki dinamakan Aidid. Pasangan ini berada di kemuncak emosi kegembiraan. Aisyah dan Aidid melengkapkan rumahtangga mereka dan diberikan segala apa yang diminta.

Meninggal serta-merta

Aisyah cemerlang dalam pelajaran dan merupakan gra­duan perakaunan dari sebuah universiti di Australia. Mahmud menaruh harapan tinggi supaya Aisyah dapat mengambil alih pengurusan syarikat kerana dia mahu bersara. Bakat Aisyah memang terserlah. Dia disenangi para pekerja dan pembekal.

Strategi perniagaannya berjaya meningkatkan pendapatan dan meletakkan syarikat setaraf dengan syarikat milik bukan bumiputera sehingga memenangi pelbagai anugerah peringkat tempatan dan antarabangsa.

Mahmud sangat berpuas hati dengan prestasi Aisyah dan sudah berkira-kira untuk memindah milik sebahagian saham­nya kepada Aisyah.

Berbeza dengan Aisyah, Aidid kurang menyerlah dalam pelajaran. Dia hanya melanjutkan pelajaran di kolej swasta dalam negara tetapi lebih banyak menghabiskan masa berfoya-foya di kelab malam bersama rakan-rakannya. Mahmud juga beberapa kali menasihatkan Aidid tetapi tidak berkesan.

Satu hari dalam perjalanan pulang daripada bermain golf, Mahmud diserang sakit jantung. Kereta yang dipandunya terbabas dan terlibat kemala­ngan. Dia maut di tempat kejadian. Bermulalah saga pusaka keluarga ini.

Mungkir janji

Mengikut hukum faraid, semua harta milik Mahmud adalah milik isterinya sebanyak 1/8 bahagian dan Aidid sebagai anak lelaki tunggal memiliki 7/8 bahagian. Aidid baru berumur 23 tahun ketika itu manakala Aisyah berumur 26 tahun. Sebagai anak angkat, Aisyah tiada sebarang hak ke atas harta Mahmud.

Dalam proses pengurusan pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil, Shamsiah bersetuju melepaskan haknya ke atas saham Mahmud kepada Aidid selepas Aidid berjanji untuk menyerahkan sebahagian daripada saham itu kepada Aisyah. Namun, apa yang berlaku selepas itu, Aidid mungkir janji!

Aidid yang tidak tahu menahu langsung mengenai pengurusan syarikat berhenti belajar dengan alasan perlu menguruskan syarikat arwah bapanya. Dia kerap bercanggah pendapat dengan Aisyah dan menyalahgunakan wang syarikat untuk kepentingan sendiri.

Kakitangan yang berpengalaman mula berhenti kerja kerana tidak tahan sering ditengking dan dimarahi Aidid. Aisyah yang cuba menasihatkan Aidid juga dimarahi dan akhirnya diberhentikan kerja.

Tiada esok untukmu

Aisyah merajuk dan kecewa kerana segala pengorbanannya untuk syarikat tidak dipandang langsung oleh Aidid. Dia membawa diri keluar rumah dan tidak diketahui arah tujunya.

Ini adalah cerita biasa yang didengari dalam masyarakat. Mahmud sepatutnya ketika hidup merancang hartanya termasuk pewarisan saham syarikat dengan teliti tanpa berlengah apabila melihat ada kemungkinan berlaku masalah di antara Aisyah dan Aidid.

Orang kita selalu merasakan ‘esok masih ada’ dan bertangguh dalam tindakan. Mereka jarang terfikir kemungkinan ‘tiada esok untukmu’. Selama 20 tahun saya berjuang menasihatkan umat Islam di Malaysia untuk membuat perancangan harta selagi kita masih berkesempatan, namun masih ramai lagi yang memandang sepi seruan ini.

Bila telah berlaku kematian dan wujud masalah, barulah nasihat dicari untuk menyelesaikan perbalahan. Ketika itu ‘sayang semuanya sudah terlambat’, tak ‘dapek den’ nak tolong!

Ariffin Sabirin adalah Pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad