Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, bagi mencapai sasaran berkenaan, pihaknya merancang membuka 20 restoran Pizza Hut setiap tahun dengan memfokuskan di kawasan kejiranan bersepadu dan restoran pandu lalu.

Beliau berkata, pembukaan restoran baharu Pizza Hut kelak akan menggunakan sistem perkongsian bagi me­ngurangkan kos, dengan rakan niaga akan membina restoran dan mengendalikan operasi manakala Pizza Hut membekalkan kelengkapan, latihan dan bahan mentah.

“Selain itu kita juga akan memfokuskan kepada kerjasama dengan perkhidmatan penghantaran makanan antarabangsa yang beroperasi di Malaysia untuk meluaskan lagi pasaran.

“Dengan ini pelanggan tidak lagi perlu menghubungi Pizza Hut untuk menempah makanan malah boleh menggunakan aplikasi perkhidmatan penghantaran yang lain untuk menempah makanan di Pizza Hut,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan pembukaan restoran Pizza Hut ke-400 di Central i-city di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif QSR Brands (M) Holdings Bhd. (Bahagian Restoran), Merrill Pereyra dan Ketua Pegawai Operasi Pizza Hut Malaysia, Loi Liang Tok.

QSR Brands ialah operator restoran Pizza Hut dan KFC di Malaysia.

Sementara itu Lian Tok dalam ucapannya berkata, restoran Pizza Hut berkenaan menerap­kan elemen antaranya seper­ti dapur terbuka dan kaunter layan diri bagi memberikan para pengunjung pengalaman yang berbeza dari restoran pizza yang lain.

“Bagi membolehkan lebih ramai pelanggan kami merasai suasana makan yang segar dan unik, Pizza Hut kini telah me­ngubah suai kira-kira 50 peratus restoran sedia ada sejak dua tahun lepas,” katanya. – BERNAMA