Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, sehubungan itu pihaknya giat mengadakan perbincangan dengan kerajaan bagi menjelaskan peranan yang dimainkan oleh syarikat itu.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju bahawa ia sebuah syarikat yang terhasil kerana kerajaan mahukan satu badan yang memeriksa dan mengeluarkan sijil perakuan keselamatan untuk kenderaan.

``Puspakom ini dibentuk oleh kerajaan yang berfungsi untuk memastikan kenderaan komersial selamat di jalan raya setelah diperiksa,’’ katanya pada sidang akhbar sempena DRB-Hicom Media Escapade 2019 di sini semalam.

Puspakom atau Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer adalah satu-satunya syarikat yang dilantik oleh kerajaan untuk melaksanakan pemeriksaan mandatori untuk kenderaan komersial dan persendirian pada 1994.

Ia merupakan anak syarikat DRB-Hicom dan mempunyai 54 pusat pemeriksaan di seluruh negara dan memeriksa sebanyak 3 juta kenderaan setahun.

Pada 3 April, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, nasib empat syarikat yang dikenal pasti sebagai syarikat yang mengamalkan perniagaan monopoli atau kartel kini di tangan kerajaan.

Di antaranya ialah Puspakom, Padiberas Nasional Bhd., Pharmaniaga Bhd. dan MyEG Services Bhd. - UTUSAN ONLINE