Aplikasi menggunakan platform Android dan iOS tersebut memaparkan maklumat harga lebih 400 barangan keperluan pengguna yang diperoleh daripada lebih dari 1,000 pegawai pemantau harga kementerian seluruh negara secara harian, mingguan dan bulanan.

Melalui aplikasi itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna , Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengguna dapat menjimatkan masa dan kos untuk membuat perbandingan harga antara premis berlainan di sesebuah kawasan dan seterusnya, pengguna dapat merancang perbelanjaan dengan memilih premis yang menawarkan harga berpatutan.

“Kementerian telah memperluaskan peranan perkongsian harga melalui Price Catcher kepada semua ahli Friends of Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan 800,000 orang seluruh negara.

“Kementerian menyeru agar pengguna-pengguna di luar sana berkongsi maklumat harga yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna lain seperti harga promosi dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Saifuddin berkata, kementerian juga menggalakkan peníaga-peniaga untuk menggunakan platform Price Catcher untuk menghebahkan promosi-promosi yang dibuat.

“Inisiatif membangunkan Price Catcher ini diharap dapat membantu mendaya upaya pengguna agar bijak merancang perbelanjaan dengan memilih menawarkan berpatutan serta menggalakkan golongan peniaga yang beretika dan meletakkan harga yang munasabah,” katanya.

Jelasnya, aplikasi itu mempunyai ciri-ciri seperti:

* Carian mengikut kategori, lokasi atau perkataan

* Fungsi untuk mengesan lokasi

* Perbandingan harga berdasarkan item atau bakul barangan

* Fungsi pandu arah ke premis pilihan menggunakan aplikasi Waze atau Google Map

* Berkongsi maklumat carian harga melalui media sosial

* Hebahan (pop up banner) mengenai perubahan harga minyak atau maklumat kepenggunaan yang lain.

Maklum balas dan cadangan penambahbaikan boleh dikemukakan melalui e-mel kepada [email protected] atau komen melalui laman rasmi media sosial Kementerian di Facebook, Instagram dan Twitter. - UTUSAN ONLINE