Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) berkata, pinjaman yang diberikan kepada bukan pemastautin menyumbang 59.7 peratus, dengan sebahagian besar dari rantau Asia Pasifik.

Katanya, sektor perbankan Islam juga terus berkembang dalam pembiayaan dan deposit pelanggan, dengan jumlah aset meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada AS3.2 bilion (RM13.02 bilion), dan jumlah pembiayaan naik sebanyak 8.4 peratus daripada AS$2.7 bilion (RM11 bilion).

“Pertumbuhan menyeluruh yang direkodkan pada tahun 2018 mencerminkan komitmen Labuan IBFC yang semakin meningkat sebagai hab kewangan serantau, yang memudahkan perdagangan intra-Asia, pelaburan dan pengantaraan aset.

“Ia turut didorong oleh dasar perniagaan yang teguh, pengembangan dan pengukuhan peranan pengantaraan yang membolehkan perniagaan Asia terus meneroka peluang di rantau ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, selain itu, antara pencapaian yang ketara dalam sektor perniagaan Labuan IBFC pada tahun 2018 termasuk pertumbuhan 12.5 peratus atau 1,059 buah syarikat baharu majoritinya dari Jepun, China dan Korea Selatan.

“Peningkatan dalam penubuhan syarikat mendorong pertumbuhan syarikat khidmat pentadbiran korporat di Labuan IBFC dengan sejumlah 58 syarikat pentadbiran korporat di Labuan, termasuklah enam lesen baharu, peningkatan 11.5 peratus tahun ke tahun dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada entiti korporat Labuan dan memperluaskan jangkauan Labuan IBFC di seluruh Asia,” katanya.

Tambah Labuan FSA, sektor insurans Labuan juga terus mengukuh dengan jumlah premium bertulis kasar yang mencatatkan kenaikan ketara kepada AS$1.7 bilion (RM6.92 bilion), peningkatan 19.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, perniagaan insurans asing menyumbang 64.7 peratus daripada jumlah premium yang ditaja jamin. Selain itu Labuan FSA berkata, perniagaan insurans kaptif terus berkembang pada tahun 2018, dengan jumlah premium kasar meningkat sebanyak 11 peratus kepada AS$400.5 juta (RM1.6 bilion) dengan 67.4 peratus premium daripada perniagaan asing.

“Walaupun terdapat cabaran dan perubahan persekitaran dalam operasi global, laporan ini telah menunjukkan bahawa kepercayaan dan keyakinan para pelabur terhadap Labuan IBFC tetap utuh dan pada masa hadapan, Labuan IBFC dijangka mendapat manfaat daripada perubahan peraturan antarabangsa yang diperkenalkan untuk memastikan ketelusan wujud dalam semua transaksi merentas sempadan,” katanya.