Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Radzaif Mohamed berkata, Persona dilancarkan pada 2007 merupakan model kedua paling laris selepas Saga dengan jualan sebanyak 322,623 buah kenderaan di rantau ASEAN, Asia Barat serta Australia.

“Proton mencatatkan peningkatan pertumbuhan jualan sebanyak 42 peratus pada Januari dan Februari dipacu oleh model kenderaan utiliti sukan pertama, X70. Prestasi positif ini dijangka berterusan pada bulan-bulan berikutnya susulan pengenalan Iriz dan Persona yang dipertingkat,” katanya dalam majlis pratonton eksklusif Persona di sini hari ini.

Persona 2019 menampilkan garisan luaran baharu menggambarkan imej sambungan pintar ditambah beberapa elemen estetika dan kemas kini yang membezakan Persona yang dipertingkat dengan model terdahulu. Jentera itu juga membawa elemen keluarga Proton yang baharu termasuk rekaan gril hadapan baharu ‘Ethereal Bow’ sama seperti pada X70.

Lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) baharu yang dipasang pada perumah berbentuk sarang lebah ditambah dengan rekaan bentuk bampar baharu membuatkan Persona yang dipertingkat kelihatan elegan.

Bahagian belakang tidak lagi menampilkan logo Proton tetapi sebaliknya dieja menggunakan perkataan ‘Proton’ dengan jarak yang agak besar di antara setiap huruf. Bampar belakang baharu yang lebih rendah menyerlahkan identiti visual sementara spoiler memberikan rasa sporty.

Lencana Persona juga diubah seiring dengan penambahbaikan dan gaya yang diterima. Persona yang dipertingkat didatangkan dengan rim aluminium 15 inci serta antena berbentuk shark fin. - UTUSAN ONLINE