Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada majlis pelancaran Dasar Hutan Sabah 2018 di Jabatan Perhutanan Sabah hari ini.

Mohd Shafie ketika ditemui pemberita berkata lokasi POIC seluas 500 ekar itu telah dikenalpasti kesesuaiannya apabila cadangan untuk industri kayu kayan dan hiliran perabot diwujudkan.

"Adanya hab pembuatan perabot ini akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi dan akan mengembangkan industri di Sandakan.

"Pemilihan lokasi ini juga amat sesuai kerana ia amat hampir dengan bekalan kayu-kayu di Lahad Datu termasuk Ranau, ini membolehkan bekalan ini diproses dekat POIC Sandakan," katanya dengan menambah, industri hiliran perabot mampu menjana sebanyak RM10 bilion hingga RM20 bilion dalam pendapatan kepada negeri melalui eksport ke pasaran antarabangsa.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut meminta Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Wilfre Madius Tangau agar mengenalpasti prasarana yang perlu ditambahbaik di POIC Sandakan untuk disesuaikan sebagai lokasi pembuatan perabot.

"Selain bekalan elektrik atau air, landskapnya juga antara yang perlu dibaiki. Selepas ini industri minyak sawit akan ditumpukan di POIC Lahad Datu sahaja," katanya.

Dalam perkara berasingan, beliau mahu amalan monopoli syarikat-syarikat konsesi Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang menebang pokok balak, membeli dan mengeksport pokok sebelum ini, dihentikan.

"Saya minta peguam negeri untuk melihat perkara ini (penggantungan) dan Yayasan Sabah dapat memberi fokus bagi mengawal selia segala aktiviti pembalakan," katanya perkara itu sekali gus dapat mengelak rasuah dan ketirisan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata kerajaan negeri akan meneruskan polisi untuk mensasarkan 30 peratus daripada keluasan Sabah sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) menjelang tahun 2025.

"Perkara ini akan memastikan kawasan TPA adalah mencukupi bagi tujuan perlindungan dan peningkatan perkhidmatan alam sekitar," katanya sambil menambah, TPA terdiri daripada Hutan Simpan Kelas 1, Kelas 6 dan Kelas 7, serta kawasan membabitkan Taman-Taman Hutan Sabah, Sanktuari serta Kawasan Konservasi Hidupan Liar yang mencecah 1.9 juta hektar (26 peratus) daripada jumlah keluasan Sabah.

Pada masa sama, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri juga akan menghasilkan Pelan Gunatanah bagi memenuhi keperluan pembangunan dan konservasi.

"Ini bertujuan untuk merasionalisasikan penggunaan tanah kawasan hutan simpan bagi memberi faedah yang lebih baik kepada Sabah dan rakyat tanpa menjejaskan ekosistem serta jumlah keluasan hutan simpan dan TPA," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Konsevator Hutan Sabah, Datuk Mashor Mohd Jaini berkata pelaksanaan kemaskini Dasar Hutan Sabah 2018 yang baharu adalah lebih komprehensif dan mengambilkira perkembangan terbaru dalam bidang perhutanan di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.

"Dasar ini dapat memperkasakan pengurusan hutan di Sabah, sekali gus tiada ruang untuk 'little napoleons' wujud di Jabatan Perhutanan," katanya bahawa Dasar Hutan Sabah yang pertama telah digubal pada 1954.

Dasar baharu ini memperkenalkam 7 teras utama yang merangkumi kelestarian sumber-sumber hutan, perlindungan biodiversiti alam sekitar dan pelan tindakan hutan. -BERNAMA