Ketua Pegawai Eksekutifnya, Wan Sazriz Wan Zaid berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada perancangan tiga tahun PMB Tijari dan pihaknya telah bersetuju secara dalaman untuk mengehadkan pembiayaan sehingga RM5 juta bagi setiap usahawan selaras dengan skop modal yang dimiliki oleh PMB Tijari.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu tidak akan dilakukan secara drastik meman­dangkan terdapat syarikat-syarikat yang mempunyai tempoh kontrak atau pesanan melebihi setahun.

“Syarikat ini memerlukan masa untuk berkembang dan mendapatkan pulangan daripada perniagaan mereka. Kita tidak mahu melepaskan peluang syarikat seperti ini untuk mendapatkan pembiayaan semata-mata kerana polisi dalaman.

“Tambahan pula, kutipan balik pembiayaan jangka pendek membolehkan kami menggunakan semula modal tersebut untuk kegunaan usahawan baharu yang lebih memerlukan. Modal pembiayaan ibarat inventori yang mana jika tidak mencukupi, maka tiada penawaran produk baharu,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambah Wan Sazriz, PMB Tijari menyasarkan untuk me­ningkatkan jumlah pembiayaan kepada RM300 juta berbanding RM200 juta ketika ini dan me­ningkat dua kali ganda kepada RM600 juta menje­lang 2022.

Katanya, sasaran itu melibatkan pe­ningkatan bilangan usahawan yang mendapat manfaat kepada 400 orang berbanding 100 orang ketika ini.

“PMB Tijari yang ditubuhkan pada 2014 kini sudah membiayai kira-kira 100 usahawan membabitkan jumlah sekitar RM200 juta. Kami menjangkakan sebanyak RM80 juta hingga RM100 juta pembiayaan baharu akan diberikan kepada 40 hingga 50 usahawan baharu.

“Perancangan ini berdasarkan kemampuan dan sumber yang dimiliki sekarang memandangkan untuk memba­ngunkan model perniagaan seperti kami sudah tentu modal adalah kekangan utama.

“Tetapi, pengembangan mo­dal tidak hanya terhad kepada pinjaman semata-mata kerana perlu memanfaatkan siner­gi antara PMB Tijari dengan pihak-pihak berkepentingan se­perti kementerian, agensi kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan swasta,” ujarnya.

Mengenai pengkhususan sektor, Wan Sazriz berkata, PMB Tijari tidak memberi pembiayaan mengikut sektor-sektor tertentu dan kebanyakan pembiayaan diberikan kepada syarikat berkaitan teknologi maklumat dan logistik.

Menurutnya, buat masa ini, PMB Tijari menawarkan tiga produk utama iaitu Ijarah, Murabahah dan Tawarruq.

“Penawaran produk ini bergantung kepada keperluan sesebuah syarikat. Ada antara syarikat-syarikat ini tidak berpeluang mendapat pinjaman di institusi kewangan kerana tidak mencapai standard tertentu atau mungkin fasa perniagaan mereka terlalu kecil.

“Disebabkan itu mereka cuba mendapat pembiayaan alternatif daripada pelabur-pelabur dan syarikat modal teroka. Oleh itu, kami berusaha menyediakan pembiayaan kepada syarikat-syarikat ini yang mana mereka mempunyai tender, pesanan atau kontrak tetapi tidak memiliki kewangan kukuh untuk berkembang,” katanya.