Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia yang diberikan baru-baru ini kepada Persada PLUS, yang terletak di Petaling Jaya, adalah berikutan kejayaan mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik.

Katanya, tahun lepas, pengurangan sebanyak 6.75 peratus (bersamaan dengan 286.78 tan metrik) gas karbon dioksida dan penjimatan tenaga elektrik sebanyak 413,228 kWh (kilowatthour) telah dilakukan menerusi pelbagai langkah.

“Ini termasuk pemasangan Variable Speed Drive(VSD) untuk sistem penyaman udara, mengurangkan penggunaan masa sistem penyaman udara, membangunkan teknologi solar fotovolta, melaksanakan de-lamping (mengurang/mengalih penggunaan lampu fluorescent di lokasi pencahayaan telah mencukupi dan lampu tidak diperlukan), memasang motion sensor lampu di tandas dan surau dan sebagainya.

“Pencapaian ini melakar satu lagi kejayaan bagi PLUS untuk memperluaskan Teknologi Hijau dalam usaha memulihara alam sekitar untuk komuniti dan kakitangan kami di bangunan Persada PLUS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, pihaknya memulakan inisiatif hijau berkenaan dengan pelancaran Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik berasaskan tenaga solar yang pertama di Malaysia di Restoran Jejantas Ayer Keroh (arah selatan) pada Disember 2018.

“Penggunaan tenaga solar fotovolta bagi tujuan yang sama turut dimulakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Machap (arah utara) bermula April tahun ini.

“Ia akan diperluaskan ke R&R yang lain seperti Restoran Jejantas Sungai Buloh, Restoran Jejantas Ayer Keroh, R&R Dengkil (arah utara dan selatan), R&R Gurun (arah utara dan selatan), R&R Gunung Semanggol (arah selatan), R&R Tapah (arah utara dan selatan) dan R&R Ayer Keroh (arah utara) dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambah Azman. - BERNAMA