Hasil kajian SME Corporation Malaysia (SME Corp.) dan Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd. (Huawei) mendapati penggunaan alat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk awan, Internet Untuk Segala-galanya (IoT) dan analitik data dalam kalangan PKS masih di paras rendah.

NOOR AZMI MAT SAID
NOOR AZMI MAT SAID 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Noor Azmi Mat Said berkata, hanya 44 peratus PKS memanfaatkan awan, IoT (35 peratus) dan analitik data (54 peratus).

Katanya, antara cabaran di­hadapi PKS dalam memasuki era pendigitalan adalah ke­wangan (49 peratus), kemahiran pekerja dan teknologi (48 peratus) diikuti strategi perniagaan (46 peratus).

“Berdasarkan kaji selidik terhadap 2,033 PKS meliputi pelbagai sektor termasuk perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terdapat segelintir mempunyai pendapat yang salah bahawa penggunaan ICT adalah mahal.

“Malah, hanya 44 peratus daripada mereka menggunakan e-dagang manakala 33 peratus tidak merancang menggunakannya dan baki 23 peratus merancang untuk memanfaatkannya,” katanya dalam majlis pembentangan Kertas Putih Pendigitalan PKS di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei, Baker Zhou.

Terdahulu ketika berucap, Noor Azmi berkata, SME Corp. membelanjakan sebanyak RM217.33 juta bagi melaksanakan 28 program berkaitan inovasi dan teknologi pada 2018 yang memberi manfaat kepada 37,429 PKS.

“Berdasarkan kaji selidik terbaharu SME Corp., daripada 1,469 responden PKS, hanya 32 peratus menyedari tentang Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) dan 69 peratus menyatakan mereka bersedia untuk melaksanakannya.

“Saya berharap peruntukan sebanyak RM7.12 bilion di dalam Belanjawan 2019 bagi pelbagai inisiatif untuk menyokong Industri 4.0 dan pendigitalan akan menyediakan sokongan yang diperlukan bagi PKS untuk memulakan perjalanan digital mereka,” katanya.