Perjanjian konsesi Pharmaniaga selama 10 tahun buat masa ini akan berakhir pada November 2019.

Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Farshila Emran berkata, kumpulan berjaya memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, antaranya tempoh penghantaran, penjimatan kos dan tahap efisien.

Katanya, Pharmaniaga dalam masa sama menyokong per­saingan sihat, justeru, tiada sebarang isu, malah kumpulan itu percaya dengan keupayaan dan kebolehannya.

Perjanjian konsesi

Mengenai isu monopoli, beliau memetik kenyataan Kementerian Kesihatan pada Jun 2018 yang menafikan dakwaan bahawa Pharmaniaga memonopoli bekalan ubat-ubatan ke kemudahan kesihatan awam.

“Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sudah berkata adalah tidak benar untuk menyatakan Pharmaniaga bertindak sebagai satu-satunya monopoli peme­gang konsesi tunggal kerana terdapat juga vendor lain yang membekalkan secara langsung ubat-ubatan kepada semua kemudahan kesihatan kementerian.

“Perjanjian konsesi menyumbang kira-kira 53 peratus kepada perolehan Pharmaniaga, meskipun begitu konsesi Kementerian Kesihatan hanya menyumbang sebanyak 33 peratus sahaja,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pharmaniaga di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Kewangan Pharmaniaga, Norai’ni Mohamed Ali.

Pada 3 April lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, kerajaan sedang meneliti empat syarikat utama berkaitan bara­ngan dan perkhidmatan dalam usaha memecah amalan monopoli dan kartel.

Empat syarikat itu terma­suk Padiberas Nasional Bhd. (BERNAS), MyEG Services Bhd (MyEG), Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) dan Pharmaniaga.

Jawatankuasa Kabinet Me­ngenai Monopoli dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan turut dianggotai oleh Saifuddin, Dr. Dzulkefly; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

Teroka peluang

Susulan itu, Pengarah Urusan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar turut menjelaskan, Puspakom bukanlah sebuah entiti perniagaan monopoli kerana ia ditubuhkan oleh kerajaan untuk memeriksa keselamatan terutamanya kenderaan ko­mersial.

Dalam pada itu, Pharmaniaga memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM147 juta pada 2019 berbanding RM30 juta yang dibelanjakan pada 2018.

Farshila berkata, capex ber­kenaan akan digunakan bagi memperluaskan portfolio produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta meneroka peluang berdaya maju buat kumpulan dalam tempoh masa akan datang.

“Ini termasuk industri peralatan perubatan dan bidang baharu onkologi dan vaksin bagi memenuhi permintaan yang ­semakin meningkat.

“Pihak kumpulan turut ber­usaha memperluaskan operasi di Indonesia untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan negara tersebut,” katanya.