Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, PFLNG Satu akan berada di lapangan kluster KBB yang terletak 90 kilometer dari barat laut Kota Kinabalu dengan kedalaman perairan 120 meter.

Menurutnya, teknologi yang terdapat pada PFLNG Satu membolehkannya bergerak ke lokasi yang lain membantu mengukuhkan kebolehpercayaan sistem bekalan LNG Petronas bagi memenuhi permintaan LNG yang semakin meningkat.

“Petronas berjaya menghantar 19 kargo sejak pentauliahan PFLNG Satu dan yakin kejayaan ini akan berterusan di perairan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

PFLNG Satu direka untuk bertahan sehingga 20 tahun tanpa dek kering dan sepanjang 365 meter dijangka mampu menghasilkan 1.2 juta tan LNG setahun.

Ia juga melengkapi portfolio global LNG Petronas sekali gus menjadikannya peneraju dalam teknologi FLNG di samping mengukuhkan reputasinya sebagai pembekal LNG pilihan dan dipercayai. - UTUSAN ONLINE