Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Petronas diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin sementara Saudi Aramco pula diwakili oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amin H. Nasser.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Galian Arab Saudi, Khalid Al-Falih.

Menerusi transaksi jual beli saham itu, kedua-dua syarikat akan memiliki pegangan ekuiti sama rata ke atas beberapa projek dan aset penapisan minyak, loji perekah dan kemudahan petrokimia RAPID dalam Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) dengan sejumlah AS$7 bilion (RM31 bilion) bakal dijana menerusi kerjasama berkenaan.

Menurut Wan Zulkiflee, PIC merupakan salah satu projek terbesar di Asia Tenggara dan pelaburan terbesar Petronas bagi sektor hiliran.

“Perjanjian ini merupakan peristiwa bersejarah bagi industri minyak dan gas kerana dua syarikat minyak terkemuka berkongsi dalam membangunkan projek baharu bertaraf dunia.

“Perkongsian ini bakal mengukuhkan lagi kedudukan, pengalaman operasi serta prestasi kedua-dua syarikat dalam membangunkan projek-projek mega serta rangkaian komersial dalam pelbagai pasaran global,” katanya. - UTUSAN ONLINE