Naib Presiden Pemasaran dan Perniagaan Hiliran ­Petronas, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pelancaran tersebut merupakan strategi global PLI yang bertujuan memberi per­khidmatan lengkap di bawah satu bumbung dan membawa bersama kepakaran teknikal Petronas Fluid Technology.

Menurut beliau, pusat itu adalah yang pertama daripada 100 yang dirancang di Malaysia dan akan dibuka di lebih 30 negara dalam tempoh lima tahun.

“Ia diselenggara oleh rakan tempatan, Autohaus yang dipercayai sebagai pusat servis kereta berpengalaman. Dengan pembukaan Petronas Auto Expert, pelanggan akan menikmati perkhidmatan servis kereta berkualiti tinggi yang selalunya dikaitkan de­ngan pusat servis di bawah jaminan pengeluar.

“Petronas sentiasa ber­usaha untuk memberi kepuasan kepada pelanggan tanpa mengira jenis dan model kereta yang dihantar ke pusat ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Syed Zainal Abidin, pelanggan dijamin akan me­nerima perhatian sepenuhnya pakar mekanik terlatih.

Katanya, diagnosis awal, penukaran minyak pelincir, pemeriksaan brek dan sebagainya akan menggunakan peralatan dan teknologi terkini.

“Sebanyak 14 ruang servis disediakan untuk memberi kemudahan terutama pada waktu puncak.

“Dengan menyertai rangkaian Petronas Auto Expert, bengkel seperti Autohaus dapat mengakses sistem, peralatan, teknologi terkini, latihan berkala sepenuhnya, khidmat runding, program pemasaran dan sudah tentu kaitan dengan nama Petronas selaku jenama global terkemuka,” ujarnya.