Malah, para penganalisis menyifatkan keadaan tidak menentu ini akan berterusan dan menjadi penentu bagi sektor minyak dan gas dalam tempoh satu dekad akan datang dan ­seterusnya.

Meskipun, pada Jun lalu, Moody’s menurunkan penarafan penerbit domestik dan mata wang asing senior tidak bercagar Petronas kepada A2 (stabil) daripada A1, namun Petronas menyifatkan bahawa asasnya masih kukuh dan kekal tidak berubah.

Sebaliknya, syarikat tunggal Malaysia dalam senarai Fortune 500 itu secara konsisten akan mengekalkan dasar kewangan konservatif dan imbangan tunai bersih yang sihat bagi membo­lehkannya menampan ketidaktentuan dan kejutan dalam pasaran.

Pertumbuhan

Ketika syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang lain me­nunjukkan prestasi lemah akibat ketidaktentuan ekonomi global, Petronas menjadi antara syarikat yang mencatat prestasi baik dengan pertumbuhan perolehan sembilan peratus kepada RM14.2 bilion pada suku pertama 2019.

Prestasi memberangsangkan ini adalah hasil daripada strategi tiga hala untuk memaksimumkan penjanaan tunai, meluaskan rantaian nilai dan memulakan penerokaan baharu.

Untuk itu, sebagai sebahagian daripada inisiatif pene­rokaan baharu, syarikat mula meneroka sektor tenaga boleh diperbaharui (RE).

Komitmen Petronas dalam penerokaan baharu ini terbukti apabila syarikat membeli kepen­tingan 100 peratus dalam Amplus Energy Solutions Pte. Ltd., sebuah syarikat terkemuka yang berpangkalan di Singapura de­ngan portfolio aset tenaga RE terbesar di 200 buah lokasi di Asia.

Di samping itu, Petronas turut mengumumkan kerjasama dengan UiTM Holdings Sdn. Bhd., syarikat pelaburan bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk membangunkan projek loji kuasa photovoltaic solar berskala besar dan projek pengoptimuman tenaga dan ­solar bumbung di kampus.

Perkembangan ini adalah baik, namun, sebagai sebuah syarikat minyak tradisional, dengan membuat perubahan kepada sektor RE perlu ditangani secara berhati-hati tetapi optimis.

Penyusunan semula

Oleh demikian, langkah pertama dilaksanakan Petronas adalah penyusunan ­semula struktur operasi tradisional bagi mencerminkan penyertaannya dalam sektor tersebut.

Ini menyaksikan pelantikan Adif Zulkifli sebagai Naib Pre­siden Eksekutif dan CEO Perniagaan Gas dan Tenaga Baharu Petronas seiring de­ngan usaha penyusunan semula dalaman Petronas yang telah diluluskan Lembaga Pengarah pada 28 Februari 2019.

Menguruskan sebuah syarikat besar dengan kepentingan perniagaan di seluruh dunia terutama ketika sedang menghadapi masalah ekonomi global memerlukan usaha yang gigih daripada pasukan pengurusan dan ini sepatutnya diberi perhatian sewajarnya dan bukannya isu dalaman.

Usaha Petronas ini bukan sahaja mempelbagaikan sumber pendapatan syarikat tetapi mampu menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Malaysia kerana kemahiran operasi dan teknikal yang diperlukan adalah berbeza berbanding perniagaan bahan api fosil huluan dan hiliran.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memuji komitmen Petronas untuk menjadi rakan tenaga dan penyelesaian yang progresif. Beliau percaya syarikat minyak negara akan membantu meletakkan Malaysia sebagai pusat penyelesaian tenaga inovatif di dunia.

Oleh demikian, Petronas mempunyai tugas ­berat untuk membawa syarikat menjadi pemain tenaga RE sebagaimana sebelum ini menjadi sebuah syarikat minyak dan gas terkemuka dunia.

Tanggungjawab Petronas kini semakin besar. Pihak kepemimpinan Petronas setakat ini menunjukkan mereka mampu menangani cabaran ekonomi global.

Langkah ini bukannya ­mudah kerana pelbagai faktor tambahan lain perlu diberi perhatian. Ini termasuklah faktor Petronas sebagai penyumbang utama kepada hasil negara.

Rakyat Malaysia perlu memberi ruang kepada Petronas untuk menangani isu-isu ini yang sudah menjadi tanggungjawab mereka.