Menurut laporan The Edge Markets yang memetik Reuters, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (Hiliran) Petronas, Arif Mahmood berkata, pada peringkat awal, produk berkenaan mungkin tidak memenuhi spesifikasi komersial memandangkan ujian percubaan masih dijalankan.

“Kami melihat projek ini adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi memenuhi pertumbuhan di rantau ini,” katanya dalam Persidangan Tenaga CERAWeek di Houston, Texas.

Kompleks Bersepadu Pengerang bernilai AS$27 bilion (RM110.38 bilion) siap dalam tempoh lima tahun. Kerjasama Petronas dan Saudi Aramco bagi kompleks penapisan itu mempunyai kapasiti sehingga 300,000 tong sehari.

Arif berkata, kapasiti penapisan Petronas akan mencapai 700,000 tong sehari selepas memasukkan kepentingan ekuiti dalam kompleks Pengerang manakala pengeluaran petrokimia akan berkembang kepada 14.6 juta tan metrik setahun daripada 12.7 juta tan metrik setahun ketika ini.

“Kompleks petrokimia dijangka mula beroperasi pada akhir Mac,” katanya. - AGENSI