Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, seperti mana-mana syarikat minyak dan gas (O&G) serta syarikat tenaga yang lain, peralihan tenaga adalah sesuatu yang dipantau rapi oleh Petronas kerana RE merupakan masa hadapan bagi sektor berkenaan.

Namun beliau berkata, Petronas tidak melihat peratusan RE akan melebihi bahan api fosil dalam masa terdekat berdasarkan senario perancangan yang dibuat kumpulan.

Katanya, syarikat minyak dan negara itu mendapati bahagian O&G konvensional dijangka berada pada tahap 50 peratus pada 2040.

“Untuk itu, biarpun kami mahu mendapatkan tempat dalam RE, Petronas tidak mahu terburu-buru dan berada di hadapan atas alasan yang cukup mudah iaitu pulangan pelaburan dalam segmen O&G konvensional adalah lebih tinggi berbanding RE.

“Jadi kita mahu memahami terlebih dahulu perniagaan serta mempunyai kemahiran yang mencukupi dalam segmen baharu ini kerana ia akan memberi kesan kepada kewangan.Itu yang kita buat pada hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambah Wan Zulkiflee, walaubagaimanapun, Petronas tetap memperuntukkan sebahagian kecil daripada perbelanjaan modalnya untuk dilaburkan ke dalam syarikat RE yang berpotensi.

Katanya, Petronas pada April lalu telah memperoleh syarikat tenaga solar yang berpangkalan di Singapura sebagai sebahagian daripada strategi untuk bergerak ke dalam segmen RE, serta mengejar perniagaan pertumbuhan tinggi untuk melengkapkan operasi utama kumpulan.

Menurut Wan Zulkiflee, Amplus Energy Solutions Pte. Ltd. atau M + menjalankan projek tenaga solar di atas bumbung dan tanah dengan kapasiti kumulatif lebih daripada 500 megawatt (MW).

“Ia mempunyai projek di seluruh India, Asia Barat dan Asia Tenggara dan pengambilalihan ini turut mencerminkan kesediaan Petronas untuk berkembang dalam segmen RE sebagai sebahagian daripada strategi jangka masa panjang kumpulan,” katanya.

Kumpulan Petronas mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM18.9 bilion dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM14.2 bilion untuk suku pertama 2019.

Perolehan bagi suku berkenaan juga meningkat tujuh peratus kepada RM62 bilion berbanding suku sama tahun sebelumnya terutamanya dipacu oleh mata wang ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Wan Zulkiflee berkata, pihaknya menetapkan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah berbanding AS$66 (RM276.145) setong yang ditetapkan tahun ini bagi tujuan perancangan kumpulan untuk tahun 2020.

Ia berikutan pihaknya me­njangkakan industri minyak dan gas global minyak global akan terus mengalami ketidaktentuan sekali gus memberi kesan kepada syarikat berkenaan.

Petronas pertimbang ceburi tenaga solar & angin

O&G konvensional masih di paras 50 peratus menjelang 
2040

RE merupakan masa depan baharu bagi sektor 
tenaga

Peruntuk sebahagian kecil daripada capex untuk dilaburkan ke dalam syarikat RE yang berpotensi