Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PetGas, Kamal Bahrin Ahmad

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamal Bahrin Ahmad berkata, perbelanjaan modal tinggi itu diperlukan untuk pemeriksaan statutori loji yang diadakan sekali dalam setiap tiga hingga lima tahun.

“Biasanya ia menelan kos kira-kira RM300 juta hingga RM400 juta untuk mengekalkan kebolehpercayaan dan produktiviti loji,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.

Kamal Bahrin berkata, tiga loji dijadualkan menjalani pemeriksaan statutori manakala dua yang lain memerlukan penyenggaraan kecil.

Menurutnya, perbelanjaan modal kebanyakannya dibiayai secara dalaman.

Sementara itu, Pengerusi PetGas, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, syarikat itu mengambil kesempatan daripada peraturan yang dikenakan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa yang mengehadkan kandungan sulfur dalam bahan api perkapalan bagi menggalakkan penggunaan gas asli cecair dalam kapal.

“Kami mempunyai stesen mengisi bahan api di Pengerang dan berharap ini akan menjana pertumbuhan masa depan bagi PetGas,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Akses Pihak Ketiga (TPA), Mohd., Anuar berkata, tidak ada syarikat lain yang menggunakan TPA untuk mengimport LNG kerana harga gas tempatan masih belum mencapai kesetaraan pasaran.

“Harga gas masih belum lagi berada pada tahap kesetaraan pasaran dan disebabkan itu, anda tidak melihat orang lain mengimport,” katanya sambil menambah syarikat itu mungkin mula menggunakan TPA untuk mengimport LNG kerana jurang antara harga gas tempatan dan harga pasaran semakin mengecil. - BERNAMA