Program Tweckbot adalah perkhidmatan pemeriksaan kenderaan mudah alih percuma yang telah lama dilaksanakan Perodua.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, Tweckbot menyediakan khidmat masyarakat menerusi pemeriksaan kenderaan sebagai persediaan untuk pemanduan jauh untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan.

“Pemeriksaan Tweckbot 50 poin merangkumi enjin, transmisi, sistem penyejukan, brek, stereng kuasa, klac, tayar, suspensi dan elektrik yang akan memberikan ketenangan minda menyeluruh kepada pelanggan kami untuk memulakan perjalanan yang jauh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, pasukan Tweckbot telah memeriksa 60 kenderaan pelanggan pada majlis pelancaran Program Kibarkan Jalur Gemilang anjuran Majlis Daerah Hulu Selangor.

Tweckbot telah memeriksa lebih 8,000 kenderaan sejak pengenalannya pada 2011.

Tambah Zainal Abidin, Tweckbot seterusnya akan berada di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya PLUS Rawang arah utara pada 24 dan 25 Ogos depan bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang.

Katanya, pelanggan yang memeriksa kenderaan Perodua mereka dengan Tweckbot akan menerima baucar yang boleh digunakan untuk menebus diskaun 20 peratus bagi pembelian alat ganti dan aksesori di mana-mana pusat servis Perodua yang sah.

“Objektif Tweckbot adalah untuk menekankan kepentingan pemeriksaan kenderaan secara berkala, melakukan servis di pusat servis Perodua yang sah serta hanya menggunakan produk dan alat ganti tulen Perodua demi keselamatan mereka,” ujarnya.

Perodua turut menempatkan ruang pamerannya pada majlis berkenaan bagi mendekati masyarakat tempatan menerusi pelbagai aktiviti termasuk mempamerkan kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp ISOFIX serta inisiatif-inisiatif keselamatan lain sehingga kini. - UTUSAN ONLINE