Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pelancaran model itu di negara berke­naan menandakan destinasi eks­port pertama bagi model Myvi di bawah jenama Perodua.

Katanya, walaupun Perodua sudah mula mengeksport Myvi generasi ketiga ke Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu dan dinamakan sebagai Sirion.

“Kemasukan Myvi generasi ketiga ke pasaran Singapura adalah penting bagi jenama kami walaupun berdepan de­ngan halangan untuk memasuki pasaran matang ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis pelancaran Perodua Myvi generasi ketiga itu diadakan pada Sabtu lepas di Pusat Jualan Dan Servis Perocom Auto Pte. Ltd. di Ubi dan turut dihadiri oleh kira-kira 250 orang pelanggan.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Perocom Auto Pte. Ltd. John Ng.

Sementara itu Ng berkata, berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singa­pura, bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di negara republik itu berbeza dari tahun ke tahun, iaitu sebanyak 80,281 buah pada 2018; 91,922 buah pada 2017; 87,504 buah pada 2016 dan 57,589 buah pada tahun 2015.

“Walaupun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.

“Perodua Myvi mendapat sambutan yang sangat baik oleh rakyat Malaysia dan di Singapura turut terdapat sekumpulan peminat setia yang menanti-nantikan ketibaan model gene­rasi ketiga ini,” katanya.

Dilancarkan di Malaysia pada November 2017, Perodua Myvi generasi ketiga merupakan model paling canggih yang dikeluarkan oleh Perodua setakat ini, menawarkan kualiti yang terbaik, berteknologi tinggi dan cekap bahan api dalam sebuah pakej yang kompak serta bergaya.

Perocom Auto, yang merupakan pengedar sah tunggal Perodua di Singapura sejak 1997, telah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama, Viva, Axia dan Bezza.