Pengarah Eksekutif Low Yat Group, Low Su Ming berkata, trend penginapan jangka pendek telah menjejaskan industri kerana mereka ketika ini tidak tertakluk kepada standard perkhidmatan, penyediaan, kualiti dan keselamatan yang perlu dilaksanakan oleh pemain hospitaliti sebagai syarikat berlesen.

“Pasaran ini berbeza dalam banyak segi terutama bilangan hartanah yang disenaraikan dan alasan-alasan bagi pengawalseliaan tetapi ia membuka jalan bagi negara-negara seperti kita untuk memerhati dan memba­ngunkan rangka kerja kawal selia kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bandar raya utama seperti New York, Paris, Tokyo dan yang lain telah membangunkan rangka kerja kawal selia yang ketat termasuk mengehadkan hari menginap, keperluan bagi pemilik untuk berada di premis, keperluan pensijilan kebakaran dan keselamatan dan pengisytiharan cukai bagi penginapan jangka pendek.

Low berkata, industri hospitaliti adalah penyumbang utama kepada ekonomi negara, jadi nilainya perlu ditingkatkan di rantau ini terutama dari segi nilai hotel.

Walaupun pilihan mampu milik akan sentiasa ada, terdapat keperluan untuk mewujudkan pasaran perdana sejajar dengan matlamat negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Usaha-usaha ini sekarang terjejas kerana pemain hospitaliti berlesen kini menumpukan kepada mengekalkan hasil mereka dalam persekitaran yang sukar. Kita membuat pelaburan jangka panjang dalam hartanah kita dan nilai dan penarafan adalah berdasarkan kepada kadar hasil yang kita capai.

“Kami menghargai persaingan yang adil dan adanya lebih banyak pilihan dalam pasaran kerana ia menjadikan persekitaran lebih mapan tetapi ini bukan ruang seimbang,” katanya,

Beliau berkata, pemain hospitaliti mempunyai pelbagai pertimbangan apabila menetapkan harga semalam bagi penginapan berlesen.

Bercanggah dengan kepercayaan bahawa harga didorong oleh persepsi jenama, pemain industri, katanya, perlu me­nimbangkan mengenai lesen, pemasaran, tenaga kerja, kemudahan, perkhidmatan, pe­ngubahsuaian, penyenggaraan, lokasi dan cukai tempatan sebelum mereka boleh menentukan kadar harga untuk semalam.

Tegas beliau, pemain hospitaliti juga berdepan persaingan sengit susulan percambahan bilangan pemilik rumah yang menyenaraikan hartanah mereka untuk penginapan jangka pendek tanpa memerlukan lesen dan pensijilan.

“Banyak perlu dilakukan dari segi rangka kerja kawal selia. Kita perlu menimbangkan alasan di sebalik penyenaraian tinggi, tempat menarik bagi penginapan jangka pendek, kesan ke atas ­industri hotel dan perang harga,” kata Low. – BERNAMA