Pengarah Besar Felda, Datuk Dr. Othman Omar berkata, ini merupakan strategi perniagaan semata-mata bagi sebahagian negara anggota EU.

“Sebelum ini, mereka me­nyatakan penanaman sawit di sini menyebabkan peneba­ngan hutan, tetapi kita telah menghentikan penanaman di kawasan baharu. Kemudian, mereka mengatakan minyak sawit tidak hijau.

“Berkaitan dengan lobi itu (untuk menghentikan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api pengangkutan), mereka melihat kelapa sawit sebagai komoditi yang lebih cekap dan ramai yang berminat untuk menghasilkannya dengan lebih banyak, justeru, mereka perlu menyekatnya sebelum ia menjadi pesaing utama mereka.

“Oleh itu, kita perlu memainkan peranan yang lebih agresif. Saya rasa mereka menang dari segi kempen perhubungan awam mereka, mereka kini menggunakan kanak-kanak kecil. Semua kanak-kanak telah diajar dari kecil untuk tidak menggunakan minyak sawit sama sekali berikutan ia tidak baik dan ia membunuh orang utan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Felda mengadakan pertemuan dengan ketua peneroka bagi membincangkan tentang cara untuk me­ngatasi isu tersebut.

‘Membunuh’ 650,000 pekebun kecil

Othman berkata, Malaysia perlu cukup bijak untuk menjelaskan kepada golo­ngan muda di sana supaya mereka memahami bahawa ladang kelapa sawit tidak membunuh orang utan.

“Sebaliknya, anda ‘membunuh’ 650,000 pekebun kecil dan ahli keluarga mereka yang hanya bergantung kepada kelapa sawit. Mereka kini menjadi mangsa,” katanya.

Pada Jumaat, Suruhanjaya Eropah secara rasminya meluluskan tindakan untuk menghentikan secara berperingkat biobahan api berasaskan minyak sawit menjelang 2030.

Pada Sabtu, Malaysia berkata, ia akan menghubungi Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) untuk tindakan lanjut jika EU meneruskan cada­ngan untuk menghentikan secara berperingkat penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api.

Beliau juga berkata, setakat ini, 42 peratus daripada pene­roka Felda telah menerima pensijilan Minyak Sawit Lesta­ri Malaysia (MSPO) melibatkan 175,950.21 hektar tanah, dengan baki 225,480.23 hektar akan diperakui MSPO menje­lang November.

Othman berkata Felda turut menggesa peneroka untuk menceburi tanaman kontan lain daripada hanya bergantung kepada minyak sawit.

“Misalnya, mungkin mereka boleh menanam pokok durian, yang tidak mengambil masa seperti pokok kelapa sawit tetapi boleh memberikan hasil sekurang-kurangnya 10 kali lebih banyak. Oleh itu, kita mungkin perlu menceburinya.

“Jika anda menukar antara 10 hingga 25 peratus dari kawasan tanah anda kepada tana­man yang dapat memberikan hasil 10 kali lebih banyak, anda sebenarnya menggandakan keseluruhan kawasan.

“Anda perlu meneroka dan menjadi lebih inovatif dalam bidang yang mendapat permintaan, dan anda lebih pelbagai, dan apabila anda menerima kesan daripada harga minyak sawit mentah yang rendah, anda tidak akan kehilangan segalanya.

Bantuan sara hidup

“Masalah dengan minyak sawit ialah kita perlu me­nung­gu selama tiga tahun, campur dengan empat tahun hasil yang rendah. Dengan tanaman kontan anda tidak akan mempunyai masalah itu.

“Dan masalah dengan kami ialah kami memberikan bantuan kos sara hidup kepada peneroka. Jika anda kali enam atau tujuh tahun, bermakna banyak kali kos penanamannya.

“Kos kami ialah enam atau tujuh kali lebih banyak daripada syarikat lain seperti IOI dan Sime Darby memandangkan mereka tidak perlu memberi bantuan kos sara hidup,” katanya.

Ditanya mengenai tanaman kontan yang menguntungkan untuk ditanam, Othman berkata, ia termasuk nanas, durian dan durian belanda, sambil menambah terdapat perniagaan lain seperti ladang solar dan penternakan burung walit. – BERNAMA