Beliau berkata, Ahli Parlimen sewajarnya menggunakan perbahasan tersebut untuk menyatakan pendapatan selain meningkatkan pemahaman mereka mengenai perjanjian tersebut yang dijadual akan dimeterai bulan depan.

“Kita harus berbangga di mana dalam amalan demokrasi, satu perkara besar yang kita nak buat keputusan, kita terbuka, panggil semua Ahli Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas taklimat dan bengkel TPPA kepada Ahli Parlimen dan Dewan Negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Mustapa yang menarik nafas lega dan gembira dengan penerimaan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang terhadap penerangan diberikan berkata, pihaknya telah pun menjawab semua persoalan dibangkitkan dalam taklimat tersebut dan tidak ada perkara disembunyikan.

Katanya, banyak perkara dibangkitkan wakil rakyat terbabit membabitkan kebimbangan mereka kemungkinan kerajaan tidak menjaga kepentingan negara, namun selepas penjelasan diberikan mereka ternyata menerimanya.

“Kita telah berjaya beri penera­ngan dan mereka memahami apabila bertemu secara peribadi, ada Ahli Parlimen pembangkang me­nyatakan berpuas hati dengan me­nyatakan ‘is not a bad deal’ (ia bukan perjanjian yang teruk).

“(Jadi), mereka tidak ada sebab untuk bertanyakan soalan tidak ada asas (pada sidang Parlimen nanti) kerana beberapa soalan (yang diajukan) mereka tidak faham, dia baca tapi tidak jelas dan bila diberikan penjelasan berpuas hati,” katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata, persidangan nanti bukan semata-mata untuk Ahli-ahli Parlimen me­ngundi, sebaliknya yang lebih pen­ting ialah meningkatkan kefahaman mereka dan rakyat seluruhnya mengenai TPPA.

Dalam pada itu, ketua pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang turut hadir taklimat tersebut berkata, pihaknya tetap dengan pendirian mereka menentang TPPA kerana tetap beranggapan ia bukan sekadar perjanjian ekonomi sebaliknya melangkaui geopolitik.