Ketua Pengarah Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin berkata, Labuan IBC menunjukkan pencapaian membanggakan bukan sahaja sebagai pusat kewangan tetapi mengubah landskap Wilayah Persekutuan Labuan secara keseluruhannya.

“Labuan pada awalnya hanya kawasan perkampungan nelayan yang menjalankan perniagaan secara barter dan berskala kecil dengan beberapa deretan kedai seperti restoran dan tekstil di sebuah pekan lama dengan penduduk kurang daripada 50,000 orang, tetapi ia melalui perkembangan secara komersial setelah menjadi salah sebuah Wilayah Persekutuan pada 1984 dan kemudiannya diisytihar sebagai IBFC pada 1 Oktober 1990.

“Ini secara tidak langsung mencerminkan perkembangan Labuan IBFC seiring dengan ekonomi serantau yang membuktikan kedudukannya sebagai platform untuk intra dan perdagangan antara Asia dan pelaburan,” katanya pada majlis makan malam sempena meraikan sambutan jubli perak Labuan IBFC ke-25 di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozaman Isli.

Sempena ulang tahun itu, Labuan IBFC mengeluarkan setem kenang-kenangan dan pingat perak pada majlis makan malam tersebut.

Sambutan jubli perak Labuan IBFC bermula dengan Siri Jelajah ASEAN 2015 Labuan IBFC di Kuala Lumpur pada Mei lalu diikuti Manila, Jakarta, Bangkok dan Singapura dengan peringkat akhir diadakan di Hong Kong pada bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Suruhanjaya Perkhidmatan Kewangan Jersey, John Harris dalam pembentangan kertas kerja mengenai Evolusi Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) berkata, Labuan IBFC merupakan penggerak utama yang mendapat kelebihan di Asia Tenggara yang menawarkan pelbagai jenis produk dan keseimbangan cukai.

“Labuan IBFC yang tampil dengan model baharu IFC mampu muncul sebagai peneraju dalam kalangan pemain pesisir luar seperti Hong Kong, Jersey dan Guernsey termasuk negara yang kuat iaitu Singapura, Ireland dan Belanda memandangkan permintaan terhadap model baharu perniagaan semakin berkembang selepas krisis kewangan pada 2007,” katanya.

Menurut beliau, semua IFC yang berjaya pada masa depan bukan sahaja memenuhi kelayakan minimum untuk kekal dalam kitaran tersebut tetapi menzahirkan keupayaan dalam negara dan pasaran termasuk komuniti antarabangsa.