Menurut Analisis Kepentingan Negara (NIA) yang disediakan oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, di peringkat politik, Malaysia dapat mengekalkan hubungan yang baik dengan kebanyakan negara manakala dari segi urusan ekonomi institusi formal, Malaysia terlibat terutamanya dengan ASEAN dan rakan dialognya.

``Tanpa menyertai perjanjian yang komprehensif seperti TPP, Malaysia akan menghantar isyarat yang jelas bahawa terdapat negara-negara yang ia ingin menjalinkan hubungan ekonomi dan perdagangan yang erat pada masa depan, dan negara lain yang ia kurang memberi keutamaan atau tidak langsung.

“Justeru Malaysia melepaskan peluang yang besar untuk mempelbagaikan hubungan ekonominya, yang meningkatkan kemungkinan ia tertakluk kepada pengaruh politik yang tidak seimbang,” kata ISIS.

Menurut ISIS lagi, kesan paling langsung dan jelas tentang Malaysia tidak menyertai TPP ialah ketidakupayaan pengeksport Malaysia mengakses kepada tarif yang rendah atau sifar pasaran eksport Malaysia.

Industri pada masa ini, yang akan terjejas termasuk minyak sawit, tekstil dan pakaian serta, secara prospektif, komponen automotif.

Minyak sawit sebagai contoh, Kanada kini mengenakan duti import sebanyak satu peratus terhadap minyak sawit bertapis dan minyak isi rong sawit Malaysia manakala Indonesia, bukan negara yang mengambil bahagian dalam TPP, menikmati keistimewaan Sistem Keutamaan Umum (GSP) Kanada, boleh mengeksport bebas cukai.

Bagi industri tekstil dan pakaian, Amerika Syarikat adalah destinasi eksport paling penting bagi Malaysia, diikuti oleh Jepun dan dengan memilih keluar daripada TPP, Malaysia berisiko mengalami peralihan perdagangan, memandangkan negara-negara yang mengambil bahagian mempunyai akses keutamaan kepada pasaran lain.

Kesan keseluruhan di peringkat negara mungkin tidak kelihatan besar tetapi kos peralihan perdagangan boleh menjadi sangat penting bagi industri-industri tertentu dan untuk pendapatan eksport Malaysia, katanya.

Laporan ISIS juga menunjukkan pelaburan yang diterima hasil daripada penyertaan TPP berpotensi lebih besar dan dengan itu negara akan kerugian besar sekiranya tidak menyertainya.

Kepentingan masa hadapan Malaysia iaitu, pelaburan yang dibuat di luar negara, juga tidak dilindungi oleh standard yang lebih tinggi dan peraturan lebih ketat yang perlu dipatuhi negara-negara TPP.

Oleh itu, keputusan untuk tidak mengadakan susulan dengan TPP tidak mungkin dilihat secara positif oleh pelabur asing dan domestik.

“Memandangkan rundingan FTA AS-Malaysia 2005 kini disepadukan ke dalam TPP, syarikat-syarikat AS, pelabur dan bank-bank, khususnya, dijangka negatif,” katanya.

Jika Malaysia tidak mengambil bahagian dalam TPP, ia juga tidak mungkin dapat memulakan semula rundingan FTA Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) memandangkan ia mempunyai keperluan dan standard yang sama.

“Oleh itu, kegagalan untuk melaksanakan TPP boleh berubah menjadi ancaman berganda dengan menafikan Malaysia mengakses kepada negara-negara Trans-Pasifik dan Eropah,” menurut kajian NIA itu.

Negara-negara dalam TPP yang telah memuktamadkan perjanjian dengan kedua-dua rantau akan mempunyai kelebihan daya saing berbanding dengan yang tidak.

Enam negara TPP yang telah memuktamadkan perjanjian dengan EU, iaitu, Kanada, Chile, Mexico, Peru, Singapura dan yang paling baru, Vietnam.