Bagaimanapun, MIDF Research berpendapat, kajian mendalam perlu dilakukan ke­rana perkara itu turut melibatkan akses kepada pendapatan dan tingkah laku pengguna.

Menurut firma penyelidikan itu, terdapat beberapa negara yang menyemak semula kadar GST, misalnya United Kingdom (UK) menyemak semula cukai nilai tambah (VAT) daripada 17.5 peratus kepada 15 peratus pada 2008.

Selain itu katanya, Ireland turut membuat tiga kali semakan sehingga kadar cukai di negara itu diturunkan kepada 21 peratus pada 1991 berbanding 35 peratus ketika ia mula dilaksanakan pada 1984.

Jelasnya, kerajaan boleh me­ngumumkan pengurangan kadar ini lebih awal seperti yang dilakukan oleh UK pada 2008, sementara menyaksikan penggunaan domestik terus meningkat.

“Ini kerana semakan dalam bentuk cukai lain seperti cukai pendapatan dan perniagaan adalah lebih berkesan dalam meningkatkan sektor domestik seperti yang dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

“Kami menegaskan terdapat ruang untuk mengurangkan kadar GST ini tetapi ia bukanlah satu kemestian sekiranya kerajaan mahu menyemak kadar cukai ini, ia perlu mengambil kira banyak perkara melibatkan akses kepada pendapatan dan tingkah laku pengguna,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Firma penyelidikan itu sebelum ini menjangkakan GST akan dikurangkan kepada lima peratus jika harga minyak berlegar secara purata AS$55 (RM221.87) setong bagi tahun kewangan 2017. Kadar itu akan dikurangkan lagi satu peratus jika harga minyak boleh mencecah AS$75 (RM302.55) setong.

Berdasarkan anggaran yang dilakukan, kutipan GST pada 2017 dengan kadar lima peratus ialah RM35 bilion manakala hasil minyak pula sekiranya mencecah AS$55 setong akan menyumbang RM34.5 bilion kepada hasil kerajaan.