Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ber­kata, usaha dilakukan itu dilakukan oleh pihaknya, kementerian lain dan agensi kerajaan sejak teks TPPA didedahkan pada 5 November lalu.

Beliau berkata, semalam dua lagi sesi taklimat diadakan dengan 500 juruukur tanah dari seluruh negara dan sekumpulan 300 pemimpin pelajar daripada 10 universiti awam dan 15 universiti swasta.

Katanya, dalam kedua-dua sesi itu, beliau telah memberikan penjelasan mengenai TPPA, termasuk kebaikan dan keburukan serta maklum balas kepada kritikan yang dibangkitkan.

Ujar beliau, kira-kira 12 soalan ditanya oleh sekumpulan juruukur tanah manakala sesi dengan pemimpin pelajar telah menarik kira-kira 20 soalan.

“Soalan-soalan itu tertumpu kepada isu tertentu yang memberi kesan kepada mereka dan isu umum lain yang agak seimbang, ada antara mereka yang menyokong malah ada juga yang menentang. Maklum balas terhadap soalan-soalan juga telah dimuat naik di laman web MITI,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustapa sehubungan itu, membidas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam sebuah portal propembangkang yang menyifatkan sesi taklimat anjuran kementeriannya sebagai propaganda dan diberikan kepada mereka yang tidak tahu dan tidak membaca isu kandungan perjanjian itu.

Tegas Mustapa, terdapat banyak organisasi meminta penjelasan daripada kementerian mengenai TPPA dan ia jelas menunjukkan bahawa penglibatan MITI bukanlah propaganda semata-mata.

“Berdasarkan penglibatan saya dengan pelbagai kumpulan, ramai yang berpengetahuan dan tahu tentang TPP dan menuduh mereka jahil adalah tidak adil dan merendahkan martabat,” tegas beliau.

“Pada setiap sesi pembentangan, saya menekankan semua kritikan terhadap TPP termasuk yang dibangkitkan oleh Charles dan memberi maklum balas kepada sebarang kritikan,” katanya.