Sebuah entiti bisnes, tidak kira milik negara ataupun swasta, perlu terus menjana keuntungan bagi meneruskan kelangsungannya.

Ahmed Razman 
Ahmed Razman  

Menurut penganalisis ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, dalam dunia perniagaan, penggabungan dan pemerolehan adalah perkara biasa.

"Tidak ada syarikat di luar sana yang mahu mengambil alih syarikat yang akan membebankan mereka.

"Itu merupakan satu faktor yang perlu diambil kira oleh mana-mana syarikat yang ingin mengambil alih syarikat yang bermasalah," kata Ahmed Razman, dalam satu temubual, baru-baru ini.

Namun, penggabungan syarikat adakalanya berlaku dalam situasi yang unik, apabila dua entiti yang tidak mempunyai sebarang masalah mengambil keputusan untuk bergabung.

"Mengambil contoh dunia telekomunikasi, cadangan penggabungan Celcom dengan Digi merupakan satu keputusan strategik yang perlu diambil, kerana pasaran telekomunikasi dalam negara sudah tepu.

"Jadi, syarikat-syarikat ini perlu mengembangkan penguasaan pasaran. Pengembangan ini perlukan satu penggabungan yang boleh mewujudkan satu kelebihan dalam skala ekonomi," tambah Ahmed Razman.

Kelebihan dalam skala ekonomi bermaksud keupayaan untuk melakukan perkongsian sumber termasuk dana, tenaga kerja dan infrastruktur dan ini secara langsung memberi kelebihan kepada syarikat terbabit untuk meneroka pasaran baharu, sebagai contoh pasaran serantau, di samping mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran tempatan.

Namun, kerisauan dalam kalangan tenaga kerja tetap wujud, apatah lagi dua syarikat yang bergiat dalam sektor yang sama mengambil keputusan untuk bergabung.

"Memang benar ada kerisauan dalam kalangan tenaga kerja kerana penggabungan bakal mewujudkan pertindihan tenaga kerja.

 

"Saya berpendapat, sebarang pemberhentian tugas secara sukarela (VSS) hanya akan berlaku jika perniagaan tersebut hanya ditumpukan pada satu pasaran yang sama.

"Namun, jika penggabungan tersebut adalah bagi meluaskan lagi pasaran, tentu akan ada pelarasan tenaga kerja kerana syarikat tersebut masih perlukan pekerja berkemahiran bagi mengembangkan pengaruhnya," kata Ahmed Razman. - UTUSAN ONLINE