Menurut AmInvestment, walaupun penjualan perniagaan pengedaran Caterpillar jarang berlaku, Sime Darby sebaliknya telah memanfaatkan peluang itu bagi memperoleh dedahan bagi sektor pembinaan dan perhutanan di New Zealand serta mengukuhkan hubungan dengan Caterpillar.

“Ini akan turut memperkukuhkan lagi kedudukan industri Sime Darby di rantau Asia Pasifik. Kami menjangkakan bahagian industri itu akan terus menyokong pendapatan kumpulan selepas meningkatkan perbelanjaan bagi usaha penggantian peralatan serta pengembangan di Australia,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Namun, pada masa sama AmInvestment kekal berhati-hati berikutan ketegangan perang dagangan Amerika Syarikat-China yang boleh memberi kesan langsung terhadap bahagian permotoran kumpulan berkenaan.

Semalam, Sime Darby Bhd menerusi unit tidak langsungnya, Sime Darby (NZ) Holdings Limited telah memeterai perjanjian jual beli dengan Gough Holdings Ltd bagi mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam Gough Group pada NZ$211 juta (RM572 juta).

Setakat 11.05 pagi ini, harga saham Sime Darby Bhd tidak berubah pada RM2.15 dengan sejumlah 586,700 saham didagangkan. - BERNAMA