Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif menjelaskan, penurunan pendapatan pada suku tahun ini disebabkan prestasi lemah pasaran saham Malaysia (susut 1.1 peratus pada suku kedua 2019 berbanding suku tahun sama tahun lepas), yang menghasilkan catatan pendapatan portfolio ekuiti domestik KWSP sebanyak RM1.51 bilion.

Walau bagaimanapun, katanya, kebanyakan pasaran ekuiti global menyaksikan pemulihan daripada paras penurunan yang dialami semasa suku keempat 2018, sebahagiannya atas tanda-tanda kemajuan dalam rundingan dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, yang menstabilkan sumbangan pendapatan oleh ekuiti global.

Namun, kebanyakan pasaran utama pula, tidak termasuk AS, kekal rendah berbanding catatan tertinggi pada 2018, ditambah dengan suasana perdagangan yang sukar pada suku 2019.

“Kelebihan mempunyai portfolio pelbagai ialah pendapatan yang disumbang melalui pelaburan aset luar negara boleh membantu mengurangkan tekanan kejatuhan pendapatan portfolio ekuiti domestik. Bagi kami di KWSP, ketidaktentuan jangka pendek memberi peluang untuk membeli aset berkualiti bagi mengukuhkan portfolio jangka panjang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ekuiti, yang merangkumi 39.2 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, kekal sebagai penyumbang utama sebanyak RM6.33 bilion, iaitu 51.4 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan pada suku kedua 2019.

Sebanyak 50.6 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap, yang kekal menyumbang kepada pendapatan yang stabil dan konsisten, dengan menjana pendapatan sebanyak RM5.12 bilion, iaitu 41.6 peratus daripada pendapatan pelaburan suku tahun.

Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan dan Bon Sama Taraf untuk suku kedua 2019 mencecah RM2.69 bilion, manakala Bon dan Pinjaman mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM2.43 bilion.

Dalam suku tahun ini, Hartanah dan Infrastruktur, yang mewakili 4.9 peratus daripada jumlah aset pelaburan, mencatat RM460 juta pendapatan pelaburan manakala pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang, yang mewakili 5.3 peratus daripada aset pelaburan, menyumbang RM410 juta.

Sebanyak RM890 juta daripada RM12.32 bilion pendapatan pelaburan kasar dijana untuk Simpanan Shariah dan RM11.43 bilion untuk Simpanan Konvensional.

Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya hanya melalui bahagian portfolio Shariah, manakala pendapatan untuk Simpanan Konvensional dijana oleh bahagian portfolio Shariah dan portfolio konvensional.

Mengenai prospek untuk suku tahun seterusnya tahun ini, Mohamad Nasir berkata, keadaan pasaran sehingga hujung tahun ini akan menjadi lebih mencabar dan tidak menentu.

Katanya, terdapat pelbagai ketidakpastian, terutama Brexit, konflik dagangan antara AS dan China, serta peningkatan amalan dasar perlindungan di negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan.

“Kami juga memerhati dengan teliti kemungkinan berlaku kelembapan ekonomi dan risiko kemelesetan beberapa ekonomi utama yang dipercayai akan memberi kesan kepada pertumbuhan global,” katanya.

Keadaan pasaran di Malaysia, jelasnya, kekal mencabar untuk jangka pendek, namun menyediakan peluang pembelian untuk dana jangka panjang.

“Sehingga hujung tahun ini, kami percaya keadaan akan menjadi lebih sukar untuk kami mengekalkan momentum setengah tahun pertama, melihat kepada kemunculan trend yang membimbangkan berdasarkan pelbagai indikasi global.

“Walau bagaimanapun, kami yakin dengan keupayaan untuk memberi pulangan melebihi inflasi, seterusnya memenuhi objektif untuk memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli untuk jangka masa panjang,” katanya. - UTUSAN ONLINE