Berdasarkan trend pasaran hartanah terkini, bekalan hartanah kediaman masih terus meningkat dan golongan penyewa muda lebih cenderung menggunakan platform dalam talian untuk menyewa rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Speedhome, Wong Whei Meng berkata, kebanyakan penyewa cenderung berhubung dengan pemilik kediaman sewa yang memberi respon pantas dalam masa sehari.

“Tidak semua pemilik kediaman yang mengiklankan rumah mereka secara dalam talian akan menjawab soalan dengan segera seperti yang diharapkan oleh kebanyakan penyewa.

“Mengikut pengalaman pihak operasi kami, pemilik kediaman yang mengambil masa lebih dari 24 jam untuk membalas pertanyaan prospek lebih sukar menyewakan rumah mereka dengan cepat,”

Data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) awal tahun ini menunjukkan terdapat peningkatan seba­nyak 640,000 rumah kediaman bertingkat tinggi dan atas tanah di seluruh negeri.

Dengan bekalan yang semakin meningkat, penyewa mempunyai pelbagai pilihan dalam keseluruhan pasaran sewa perumahan.

Menurut Speedhome, rumah berkelengkapan penuh dengan purata harga sewa bernilai RM1,400 di kawasan Lembah Klang seperti Pe­taling, Subang dan Cheras adalah antara yang paling mudah untuk disewakan. Kawasan yang matang dan berdekatan dengan kemudahan pengangkutan awam adalah antara ciri-ciri rumah yang mudah disewakan.

Transaksi paling cepat di platform Speedhome hanya mengambil masa 12 jam.

Selain daripada kerjasama baik pihak pemilik rumah, lokasi strategik kediaman mereka juga memainkan peranan penting yang menarik minat penyewa untuk menyewa.