Perang dagang itu akan mengetatkan kecairan global yang boleh membawa kesan kepada aktiviti perniagaan dengan memaksa kos pinjaman meningkat manakala ali­ran keluar modal boleh menjadi risiko.

ADB dalam kemas kini Prospek Pembangunan Asia mengekalkan anggaran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 pada kadar enam peratus. Bagaimanapun ramalan pada tahun hadapan diturunkan daripada 5.9 peratus kepada 5.8 peratus.

Penurunan ramalan bagi 2019 merupakan yang pa­ling perlahan sejak 2001 yang mana pada ketika itu unjuran pertumbuhan adalah pada kadar 4.9 peratus.

Unjuran terbaharu itu tidak mengambil kira kesan tarif yang dikenakan antara satu sama lain oleh AS dan China terhadap barangan keluaran mereka.

Menurut Ketua Ekonomi ADB, Yasuyuki Sawada, tambahan duti tidak akan memberi kesan yang signifikan kepada unjuran ADB, namun ketegangan yang semakin meningkat antara kedua-dua buah negara harus dipantau dengan teliti.

Dalam pada itu, rantau Asia Tenggara diramalkan mengalami pertumbuhan sederhana dalam eksport, pe­ningkatan pantas inflasi, ali­ran keluar modal bersih dan imbangan bayaran yang semakin teruk sekali gus me­nyumbang kepada prospek masa depan yang suram.

Menurut Sawada, penggubal dasar memiliki pelbagai alat untuk menangani ancaman berkenaan, bagaimanapun ia harus dilaksanakan dengan berhati-hati.

Inflasi dijangka kekal berada di bawah kawalan dibantu oleh faktor tertentu yang dimiliki oleh sesebuah negara seperti inflasi harga makanan yang sederhana di India dan China serta pemberian subsidi minyak di Indonesia dan Malaysia.

“Kerajaan di rantau Asia mempunyai polisi yang mencukupi bagi menangani kejutan dan tekanan akibat daripada penurunan nilai mata wang,” kata Sawada. – REUTERS