Airbnb dalam ke­nyataan berkata, Malaysia berada di belakang China de­ngan pertumbuhan seba­nyak 179.2 peratus, ­Vietnam (110.8 peratus) dan Filipina (100.2 peratus).

Menurut syarikat itu, komuniti Airbnb berkembang lebih pantas bagi destinasi luar ­laluan utama berbanding bandar-bandar besar dan destinasi utama pelancongan.

“Airbnb membawa manfaat ekonomi kepada komuniti di seluruh dunia yang belum berkongsi manfaat ini pada masa lalu. Sehingga 97 peratus daripada harga penyenaraian di­salurkan terus kepada usahawan hospitaliti Airbnb.

“Hampir 50 peratus perbelanjaan tetamu berlaku dalam kejiranan tempat mereka menginap. 0leh itu, manfaat kewangan pelancongan boleh menjadi signifikan untuk destinasi perjalanan yang luar biasa,” katanya di sini hari ini.

Tambah Airbnb, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa kerajaan dan organisasi komuniti di APAC untuk membantu mempromosikan destinasi di luar laluan utama dan menyediakan latihan kemahiran hospitaliti dan digital kepada bakal usahawan.

Sementara itu, pengasas bersama Airbnb yang juga Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Airbnb China, Nathan ­Blecharczyk (gambar) berkata, ekonomi Asia Pasifik yang semakin berkembang akan menjadi enjin yang memacu pertumbuhan perjalanan global.

Katanya, seiring dengan perkembangan pelancongan di Asia Pasifik banyak kerajaan di rantau ini menetapkan matlamat untuk menyebarkan manfaat pelancongan melangkaui bandar-bandar besar dan destinasi pelancongan utama.

“Kami amat bangga bahawa komuniti Airbnb memainkan peranannya dalam mereali­sasikan matlamat tersebut dan membantu komuniti yang pelbagai, dan sering kali keku­rangan sumber mendapat manfaat daripada pelancongan,” ujarnya.

Pasaran penginapan Airbnb menyediakan akses kepada lebih lima juta penginapan unik di lebih 81,000 bandar dan 191 negara.