Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Zabidi Mahbar berkata selain mendapatkan pembiayaan dari bank, yang lebih menumpukan syarikat berprestasi stabil dan matang, pelaburan ekuti juga boleh dipertimbangkan bagi tujuan pengembangan perniagaan, terutama oleh syarikat yang berada di peringkat awal operasinya.

Oleh yang demikian, MIDA sedang meningkatkan usaha untuk menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan membantu perniagaan tempatan memperkukuh daya saing dan kapasiti mereka, katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar forum peluang pembiayaan perniagaan yang julung kali diadakan dengan tema ‘Pelaburan Ekuiti ke arah Pertumbuhan Perniagaan 2019’ di sini, hari ini.

Pada suku pertama 2019, DDI yang diluluskan di negara ini bernilai kira-kira RM24.6 bilion berbanding nilai pelaburan langsung asing yang diluluskan sebanyak RM29.3 bilion.

“Daripada nilai DDI yang diluluskan itu, jumlah pihak yang memanfaatkan pelaburan ekuiti masih kecil.

“Oleh itu, kami mahu membuka peluang ini kepada syarikat untuk mempertimbangkannya sebagai pilihan bagi mengumpulkan modal yang bertujuan membawa perniagaan mereka ke tahap seterusnya,” katanya.

Zabidi berkata forum yang dihadiri 150 peserta tersebut bermatlamat menyediakan platform strategik untuk firma kewangan berkongsi strategi pelaburan, sektor dan industri yang mereka tumpukan.

Beliau berkata acara berkenaan adalah libat urus berterusan yang dilaksanakan MIDA melalui Platform Penyelarasan Pelaburan (ICP) yang diwujudkan pada 2018 untuk memudahkan syarikat dalam menjayakan pelan pengembangan dan pertumbuhan perniagaan mereka.

ICP bekerjasama erat dengan firma penasihat ekuiti dan korporat, pengawal selia tempatan serta penyedia teknologi untuk membantu syarikat dalam menjalankan suai padan antara perniagaan di samping pengumpulan modal melalui hutang dan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan, penjualan, serta tawaran awam awal, katanya.

Zabidi berkata pasukan ICP telah menjalankan program libat urus dengan lebih 200 syarikat pembuatan, perkhidmatan, perladangan selain 50 pihak teknologi strategik serta rakan kongsi pendanaan malah setakat ini mengatur lebih 60 sesi pertemuan perniagaan dengan perniagaan.

Pasukan itu juga membolehkan sebuah syarikat keluli tempatan memenuhi keperluan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia. -BERNAMA