Menurut kajian yang dilaksanakan pada November 2018 hingga Februari 2019 oleh firma perakaunan multinasional itu mendapati, lebih kurang 52 peratus bank yang ditinjau didapati tidak memantau jumlah kos pengurusan risiko penipuan.

“Ini menjadikannya agak terasing dalam operasi bank sehingga terlepas pandang oleh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Risiko yang membuat keputusan dalam bajet, penyumberan serta pelaburan utama,” kata Ketua Forensik KPMG Malaysia Tan Kim Chuan dalam satu kenyataan hari ini.

Kajian tersebut telah dibuat merentasi 43 bank peruncitan, 13 daripadanya terletak di rantau Asia Pasifik, lima di Amerika dan 25 lagi di Eropah, Timur Tengah dan Afrika.

Berdasarkan kepada kesimpulan kajian itu, 61 peratus daripada bank-bank yang ditinjau telah melaporkan peningkatan dalam penipuan luaran, dari segi nilai dan jumlah, sejak tiga tahun lepas.

Kajian itu juga mendapati bahawa lebih daripada separuh responden hanya mampu mendapatkan kembali kurang daripada 25 peratus kerugian yang disebabkan penipuan, sekali gus membuktikan bahawa pencegahan penipuan adalah kunci utama.

“Pelanggaran siber dan data kekal menjadi cabaran paling kritikal seperti yang dilaporkan oleh pihak bank di ketiga-tiga wilayah berkenaan dan masalah ini diburukkan lagi dengan peningkatan populariti perbankan terbuka khususnya selepas pihak bank di seluruh dunia membuka pintu mereka kepada pihak ketiga bagi mengakses data pelanggan.

“Bagaimanapun, wujud persoalan mengenai sejauh mana pergantungan yang boleh diletakkan di bawah kawalan pihak ketiga,” katanya.

Menurut Tan, penjenayah siber telah menjadi lebih canggih dan mampu memanfaatkan teknologi untuk menipu mangsa. Ini bermakna, institusi kewangan perlu membuat satu anjakan paradigma dalam pendekatan mereka bagi mengurangkan risiko penipuan secara berterusan dan berkesan.

“Untuk memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin bertambah, institusi kewangan perlu menumpukan kepada pembinaan struktur model pengurusan yang lebih kukuh serta mampu bersaing dengan pengembangan transformasi pendigitalan, mengenalpasti risiko-risiko yang tidak diketahui, memanfaatkan kelebihan teknologi dan mengurangkan kos pematuhan,” katanya.

Tan ketika diminta mengulas mengenai dasar Pengurusan Risiko Bank Negara Malaysia dalam Teknologi (RMiT) yang diumumkan pada 18 Julai 2019, bertujuan untuk membimbing institusi kewangan tempatan dalam menangani jenayah siber, memberitahu pengenalan itu adalah tepat pada masa dan akan menjadi panduan yang berguna bagi memacu penggunaan teknologi dalam sektor perkhidmatan kewangan.

Polisi yang berkuatkuasa mulai 1 Jan 2020 itu akan menentukan jangkaan bagi pihak bank ke arah mewujudkan satu rangka kerja pengurusan risiko teknologi yang holistik, yang merangkumi semua peringkat organisasi untuk sentiasa menilai risiko, mengenalpasti jurang dan menyusun aktiviti bagi mengurangkan serta menguruskan risiko teknologi ke atas selera risiko kewangan yang diluluskan. - BERNAMA