MIDF Equities Research dalam nota kajiannya berkata, setakat ini jumlah ekuiti yang dibawa keluar bagi asas tahun ke tahun adalah RM7.62 bilion yang mana ia bersamaan de­ngan 65 peratus daripada jumlah penjualan asing pada tahun lepas berjumlah RM11.69 bilion.

Katanya, pelabur asing menjual RM122.8 juta pada Selasa berikutan sentimen umum yang kekal berhati-hati selepas Amerika Syarikat (AS) menaikkan tarif sebanyak 15 peratus ke atas barangan China pada 1 September.

“Aliran keluar yang besar ini turut dihadapi oleh pasaran serantau lain seperti Korea Selatan, Thailand dan Taiwan,” katanya di sini hari ini

Tambah firma penyelidikan itu, momentum penjualan ekuiti kembali perlahan pada Rabu apabila mencatatkan jualan bersih sebanyak RM78 juta.

Menurutnya, ia susulan rancangan Hong Kong untuk menarik balik undang-undang ekstradisi dan isu-isu berkaitan Brexit.

“Keadaan berbeza pada Khamis apabila mencatatkan belian bersih sebanyak RM2.75 juta berikutan laporan AS dan China akan menyambung semula rundingan perdagangan pada Oktober.

“Bagaimanapun, pelabur asing kembali menjual ekuiti sebanyak RM80.6 juta didorong data pekerjaan AS yang kukuh,” katanya.

MIDF Equities Research berkata, berdasarkan penglibatan pelabur asing, pasaran pernah mengalami kejatuhan mingguan terbesar sebanyak 27.2 peratus dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) yang mencecah RM996 juta.