Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata, Bursa memulakan minggu itu pada paras kukuh berikutan pelabur a­sing yang membeli ekuiti bernilai RM81.5 juta, terbesar sejak 18 Februari 2019.

Katanya, kemasukan dana asing pada Isnin meningkatkan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) sebanyak 0.6 peratus kepada 1,691 mata.

“Dana antarabangsa terus memasuki pasaran Malaysia mengambil kira harga mi­nyak mentah Brent yang konsis­ten hampir mencecah AS$67 (RM272.7) setong berikutan komitmen Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk meneruskan pemotongan pengeluaran 2019.

“Bagaimanapun, pada Rabu menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan aliran keluar bersih asing sebanyak RM26.6 juta,” katanya dalam laporan aliran dana mingguan MIDF Research hari ini.

Jelas Adam lagi, kebimba­ngan lain pada Rabu lalu termasuk kemungkinan China menolak kembali terhadap tuntutan AS walaupun Presiden Donald Trump menyatakan bahawa rundingan sedang berjalan dengan baik.

“Meskipun begitu, Malaysia menarik aliran masuk bersih a­sing bernilai RM14.6 juta pada Khamis kerana Rizab Persekutuan AS akan menghentikan kenaikan kadar faedah tahun ini.

“Nilai ringgit seterusnya me­ngukuh sebanyak 0.12 kepada RM4.061 berbanding dolar AS, paling tinggi sejak Julai tahun lalu.

Kadar yang diukur daripada jualan bersih asing pada Jumaat bernilai RM3.9 juta berikutan pengumuman Indeks Harga Pengguna (CPI) Malaysia turun 0.4 peratus daripada tahun sebelumnya.

Indeks itu bertukar negatif pada Januari untuk kali pertama sejak November 2009, turun 0.7 peratus tahun ke tahun di tengah-tengah penurunan ketara dalam kos bahan api runcit sete­rusnya meneruskan trend deflasi.