Penganalisis MIDF Research, Adam M. Rahim berkata,pelabur asing adalah pembeli bersih saham disenaraikan di Bursa Malaysia bagi minggu keempat berturut-turut yang berakhir 12 Julai lalu.

Katanya, dana asing membeli RM15.9 juta ekuiti tempatan Isnin minggu lalu dan pembeliannya meningkat kepada RM104.6 juta pada Selasa.

“Sentimen pada Isnin agak sederhana didorong oleh ketidaktentuan keputusan polisi Rizab Persekutuan berikutan laporan pembayaran gaji Amerika Syarikat (AS) yang memperlihatkan ekonomi dalam keadaan baik.

Meskipun begitu, Malaysia mencatatkan trend yang tidak sama dengan negara lain seperti Korea Selatan, Taiwan, Thailand, India, Filipina dan Indonesia yang menyaksikan aliran keluar,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Pembelian dana asing pada Selasa merupakan tertinggi dalam tempoh minggu lalu berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar faedah.

Adam berkata, aliran masuk asing susut lebih separuh pada Rabu dan Khamis masing-ma­sing kepada RM42.5 juta dan RM51.2 juta menjelang petunjuk hala tuju kadar faedah daripada Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell.

“Walau bagaimanapun, pembelian empat hari itu terhenti pada Jumaat apabila dana asing melepaskan saham dan ekuiti tempatan bernilai RM129.3 juta. Sebahagian besar aktiviti jualan didorong oleh potensi pencairan pendapatan CIMB Group Holdings susulan cadangan terbitan bon boleh tukar oleh Khazanah Nasional Bhd.

“Setakat tahun ini, aliran keluar bersih asing dari Malaysia ialah RM4.35 bilion,” katanya.

Sebaliknya, enam pasaran Asia lain yang dipantau MIDF Research iaitu Korea, Thailand, Indonesia, India, Taiwan dan Filipina telah melihat aliran masuk bersih asing setakat ini dengan India yang terbesar.