Menurut seorang peniaga, penanda aras kontrak getah Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) bagi penghantaran Januari susut kepada tahap terendah dalam tempoh hampir lapan bulan berterusan sehingga kepada tujuh sesi.

“Spekulasi tersebut menjejaskan sentimen urus niaga di pasaran tempatan. Sentimen global yang suram berikutan kebimbangan mengenai krisis perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin memuncak juga telah menyebabkan para peniaga untuk tidak memasuki pasaran,” katanya.

Bagaimanapun, menurut peniaga itu, kejatuhan harga getah asli telah dihadkan oleh nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.

Sehingga pukul 5 petang, ringgit diniagakan pada 4.1750/1800 daripada 4.1550/1600 yang direkodkan semasa Jumaat lepas.

Sementara itu pada pukul 12 tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun dua sen kepada 536 sen sekilogram dan lateks pukal adalah 5.5 sen lebih rendah kepada 440 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 berkurangan sebanyak 7.5 sen kepada 534 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 443.00 sen sekilogram. - BERNAMA