Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Syed Zaid Albar berkata, di sebalik ketidaktentuan pasaran global, aktiviti pembiayaan di dalam bon korporat dan pasaran sukuk kekal berdaya tahan.

Beliau berkata, ia dapat dilihat dengan sejumlah RM78.4 bilion diraih dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dan prestasi separuh pertama 2019 juga menghampiri nilai RM105.4 bilion yang dicatatkan bagi tahun penuh 2018.

“Prestasi baik yang direkodkan oleh pasaran bon dan sukuk itu juga merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak yang terus komited membangunkan kecairan pasaran bon tempatan.

“Pembangunan pasaran bon dan sukuk adalah keutamaan bagi SC dan daripada perspektif makro, keupayaan kedua-dua pasaran untuk menyediakan kos yang cekap, pembiayaan jangka panjang kepada kedua-dua sektor awam dan swasta menjadikannya penting untuk pembangunan ekonomi dan ketahanan pasaran,” katanya pada Persidangan Bon RAM-SIDC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi RAM Holdings Bhd, Tan Sri Amirsham A. Aziz.

Tambah Syed Zaid, pasaran bon dan sukuk mempunyai kesan transformatif ke atas landskap ekonomi Malaysia dengan rangka kerja pengawalseliaan, kecairan yang mencukupi dan infrastruktur penjanaan modal bahkan menarik penerbit asing untuk meneroka pasaran tempatan.

“Unsur-unsur yang mantap di pasaran tempatan telah menyediakan asas yang kukuh untuk meneruskan pembangunan pasaran bon bagi fasa seterus­nya,” katanya.

Sementara itu Amirsham berkata, pasaran bon dan sukuk Malaysia terus menunjukkan kepentingannya sebagai tonggak utama dalam pasaran modal, membiayai ekonomi sebenar dan keperluan infrastruktur negara.

Katanya, sepanjang 18 tahun, pasaran berkembang daripada RM264 bilion pada 2000 kepada RM1.4 trilion pada akhir Disember 2018.

“Pasaran bon kekal sihat setakat tahun ini, walaupun turun naik dalam pasaran yang lebih luas dengan aktiviti terbitan korporat kasar dijangka mencapai antara RM90 bilion dan RM100 bilion menjelang akhir tahun ini, tidak terlalu jauh dari pada RM105.4 bilion yang dicapai tahun lepas,” katanya.